MANCHESTER, England: Pep Guardiola memuji persembahan cemerlang Manchester City ketika menewaskan Manchester United 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, dan menyifatkan Erling Haaland sebagai pemain istimewa selepas meledak dua gol.
Haaland, yang kini mengumpul enam gol bersama kelab dan tujuh gol dengan negaranya dalam tempoh seminggu menjadi watak utama kemenangan City pada aksi derbi Manchester kali ke-197.
Dua jaringannya pada separuh masa kedua memastikan perlawanan seperti sudah ditamatkan ketika memasuki minit ke-68, selain persembahan cemerlang penjaga gol baharu City, Gianluigi Donnarumma yang membuat penampilan sulung di EPL.
“Haaland tidak pernah mengecewakan sejak dia tiba. Komitmen Haaland tinggi, itulah sebabnya dia menandatangani kontrak jangka panjang. Dia seorang pemain istimewa,” kata Guardiola.
Guardiola turut memuji aksi pemain pertahanan kanan, Abdukodir Khusanov yang tenang ketika menyerap asakan United dan persembahan bertenaga Phil Foden, yang kembali ke tahap terbaik seperti musim 2023-24 dengan larian bertenaga di tengah padang
“Kami ada jadual padat bermain setiap tiga hari dalam tempoh 11 bulan akan datang. Tiada manusia mampu lakukannya dengan mudah.
“Saya tahu fizikalnya luar biasa, pantas dan menutup ruang dengan baik di bahagian itu. Dia tidak banyak hilang bola walaupun kadang-kadang tenaganya membuatkan dia silap perhitungan.
“(Patrick) Dorgu memang laju, tetapi hari ini (Khusanov) benar-benar beraksi dengan bagus,” kata Guardiola. – AGENSI/UTUSAN






