LONDON: Penyerang Republik Demokratik Congo, Yoane Wissa bakal menerajui jentera serangan Newcastle selepas kelab itu kehilangan Alexander Isak yang berpindah ke Liverpool dengan rekod Britain.
Newcastle membuat keputusan untuk membeli Wissa dari Brentford pada saat akhir sebelum pintu perpindahan ditutup dengan yuran perpindahan 50 juta pound (RM285 juta).
Wissa bersetuju dengan kontrak jangka panjang bersama The Magpies, tertakluk kepada kelulusan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan akan menyarung jersi ikonik nombor sembilan di Newcastle.
Wissa merupakan pembelian besar kedua Newcastle dalam tempoh tiga hari selepas mereka melengkapkan perpindahan bernilai 69 juta pound (RM394 juta) untuk mendapatkan penyerang Jerman, Nick Woltemade dari Stuttgart.
Kedua-duanya dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan Isak dengan golnya membantu Newcastle layak ke Liga Juara-Juara musim lalu dan menamatkan kemarau trofi 56 tahun dengan kejayaan menewaskan Liverpool pada final Piala Liga.
Isak akhirnya melengkapkan perpindahan bernilai 125 juta pound (RM715 juta) ke kelab juara EPL itu sejurus sebelum ketibaan Wissa disahkan oleh Newcastle.
“Saya amat gembira berada di sini dan menandatangani kontrak bersama salah satu kelab terbesar Liga Perdana. Saya benar-benar teruja untuk menyarung jersi hitam putih.
“Saya ada impian, saya ada keyakinan dan kini saya akan melakukan yang terbaik untuk merealisasikannya. Saya tidak sabar untuk bermula,” kata Wissa.
Sementara itu, pengendali Newcastle, Eddie Howe percaya, kehadiran Wissa bakal menajamankan lagi jentera serangan the Magpies pada musim ini.
“Dia membawa kualiti terbukti di Liga Perdana, bukan sahaja melalui jumlah jaringannya tetapi juga kerja penting yang dilakukannya untuk pasukan.
“Gaya permainan dia juga pasti akan mengujakan penyokong kami dan melengkapi corak permainan kami, dia mempunyai kelajuan, kekuatan dan etika kerja yang hebat.” kata Howe. – AGENSI/UTUSAN






