BAKU: Anthony Gordon tampil luar biasa apabila meledak empat gol untuk mengemudi Newcastle United membenam Qarabag FK 6-1 pada aksi pertama play-off Liga Juara-Juara UEFA, semalam.
Ledakan berbisa penyerang England itu di Stadium Tofiq Bahramov Republican hampir menutup terus peluang tuan rumah, apabila dua daripada empat jaringannya hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan dengan penuh yakin sebelum rehat.
Newcastle sudah selesa mendahului lima gol pada babak pertama hasil sentuhan Malick Thiaw dan ketajaman Gordon yang sukar dikekang pertahanan Qarabag.
Selepas rehat, Jacob Murphy menambah derita tuan rumah dengan gol keenam, sekali gus melengkapkan malam gemilang The Magpies di pesisir Laut Caspian.
Gol sagu hati Elvin Jafarguliyev sekadar kosmetik buat Qarabag yang longlai dan gagal menandingi intensiti permainan pasukan pelawat.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe memuji karakter anak buahnya yang mempamerkan aksi agresif sejak wisel pertama.
“Ia satu pujian buat pasukan. Separuh masa pertama antara yang terbaik pernah kami tampilkan sejak sekian lama,” katanya.
Gordon kini mengumpul 14 gol musim ini termasuk 10 dalam kempen Eropah, sekali gus memadam rekod lama Alan Shearer sebagai penjaring terbanyak Newcastle dalam satu musim pertandingan elit Eropah.
Aksi kedua di St James’ Park pada 24 Februari depan dijangka hanya formaliti, kecuali Qarabag mencipta kebangkitan luar biasa.
Selepas menamatkan kemarau 70 tahun trofi domestik utama musim lalu, Howe kini hanya selangkah untuk melakar sejarah baharu membawa Newcastle mara lebih jauh di pentas paling berprestij Eropah. – AGENSI/UTUSAN






