MADRID: Barcelona berada dalam prestasi terbaik menjelang aksi El Clasico selepas membelasah Olympiacos 6-1 sekali gus mengembalikan rentak kemenangan gergasi Catalan itu dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), semalam.
Kemenangan itu diperolehi menerusi jaringan hatrik daripada Fermin Lopez, dua gol disumbangkan Marcus Rashford dan ledak satu gol Lamine Yamal.
Skuad kendalian Hansi Flick itu yang sebelum ini tewas kepada juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi terdahulu di peringkat liga.
Flick tidak menurunkan beberapa tonggak utama seperti Robert Lewandowski, Raphinha dan beberapa pemain tetap lain, namun anak buahnya tetap berjaya membina keyakinan di Stadium Olimpik menjelang pertembungan menentang Real Madrid dalam saingan La Liga, Ahad ini.
“Saya sangat gembira, kami perlukan kemenangan seperti ini. Kami akhiri perlawanan dengan perasaan positif dan kini fokus kepada Clasico.
“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan dan mahu terus mengekalkan momentum ini,” kata Lopez.
Barcelona sebelum ini sekadar menang tipis ke atas Girona dalam derbi Catalan, dan hampir dibolosi pada awal permainan menentang pasukan dari Greece itu.
Dengan aksi Clasico semakin hampir, tahap tumpuan mereka di benteng pertahanan masih menjadi kebimbangan buat Flick. – AGENSI/UTUSAN






