MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mencipta sejarah baharu di Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila melakar 250 kemenangan sepanjang kariernya di England.
Pencapaian jurulatih kelahiran Sepanyol itu sekali gus memintas pencapaian dua pengurus lagenda EPL iaitu Sir Alex Ferguson dan juga Arsene Wenger.
Kemenangan ke-250 tersebut dilakar ketika City menumpaskan Brentford 1-0 hasil jaringan Erling Haaland di Stadium Gtech pada minggu lalu.
Kejayaan itu menjadikannya pengurus terpantas meraih 250 kemenangan dalam karier selepas hanya mengharungi 349 perlawanan berbanding Ferguson yang memerlukan 404 aksi dan Wenger (423) untuk mencipta pencapaian sama.
Sepanjang 10 tahun di Etihad, Guardiola berjaya menjulang enam gelaran EPL dan beliau memiliki rekod sebagai pengurus yang memiliki peratus kemenangan paling tinggi dalam sejarah dengan 71.6 peratus.
Beliau juga berjaya menghadiahkan keseluruhan 18 trofi buat The Citizens sepanjang tempoh berkenaan termasuk gelaran Liga Juara-Juara yang buat kali pertama dalam sejarah dimenangi kelab itu.
“Satu penghormatan apabila diletakkan sebaris dengan Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger. Saya berhajat untuk menjemput mereka menikmati makan malam.
“Ia bagaikan satu kepuasan apabila dapat menjadi sebahagian daripada sejarah Liga Perdana Inggeris. Sekarang saya akan cuba memenangi lebih banyak perlawanan selepas ini,” katanya.
Pada musim 2017/18, City menjadi pasukan pertama yang mengumpul 100 mata untuk semusim apabila meraih 32 kemenangan daripada 38 perlawanan selain mereka juga pasukan pertama memenangi gelaran EPL untuk empat musim berturut-turut.
Sepanjang 349 perlawanan melibatkan Guardiola sebagai pengurus, City telah berjaya meledak 842 gol dan hanya bolos 299 kali. – AGENSI/UTUSAN






