MADRID: Barcelona kehilangan khidmat pemain muda sensasi kelab itu, Lamine Yamal yang direhatkan selama tiga minggu ekoran kecederaan berulang di pangkal paha, kata kelab itu.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu mendapat kecederaan tersebut selepas kekalahan 2-1 kepada Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu lalu.
Itu bermakna dia tidak akan diturunkan bagi menghadapi Sevilla pada hari ini serta diketepikan daripada skuad kebangsaan Sepanyol daripada kelayakan Piala Dunia menentang Georgia dan Bulgaria pada 12 dan 15 Oktober ini.
“Sakit itu kembali selepas perlawanan dengan PSG. Anggaran tempoh pemulihan adalah dua hingga tiga minggu,” kata Barcelona.
Jurulatih Barcelona, Hansi Flick meluahkan kemarahannya apabila merasakan kecederaan yang dialami Yamal menjadi lebih teruk kerana bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2026 September lalu.
Namun, pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente berkata, dia tidak mempunyai sebarang isu dengan Flick selepas kritikannya terhadap cara pasukan kebangsaan mengendalikan pemain muda itu.
“Risiko dalam bola sepak dan sukan sentiasa wujud. Jika dia bermain di kelabnya, dia sudah menerima risiko itu. Kita bercakap tentang situasi yang benar-benar normal.
“Tiada konflik dengan Flick. Saya cuma terkejut dengan kenyataan itu kerana dia pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan dan saya fikir dia mempunyai empati terhadap situasi ini,” kata De la Fuente. – AFP/UTUSAN






