MADRID: Barcelona berdepan krisis kecederaan serius menjelang persiapan menentang Girona dalam saingan La Liga hari ini, seminggu sebelum pertemuan tumpuan El Clasico menentang Real Madrid di Santiago Bernabeu.
Skuad kendalian Hansi Flick kehilangan lapan pemain utama, dengan penyerang berpengalaman Robert Lewandowski menjadi ‘mangsa’ terbaharu tersenarai berikutan kecederaan otot paha ketika tugasan antarabangsa.
Bintang Poland itu, menyertai senarai panjang pemain yang tercedera termasuk Dani Olmo, Gavi, Lamine Yamal, Fermin Lopez, Raphinha, Joan Garcia dan Marc-Andre ter Stegen.
Secara keseluruhan, lebih 30 peratus skuad utama Barcelona kini direhatkan akibat kecederaan, dengan kelab Catalan itu mencatat lebih 10 kes kecederaan sejak Ogos lalu.
Situasi itu hadir pada waktu paling genting, selepas Barca tewas dua perlawanan berturut-turut, 2-1 kepada PSG dalam Liga Juara-Juara dan 4-1 kepada Sevilla dalam La Liga sebelum rehat antarabangsa.
Garcia, Ter Stegen dan Gavi memerlukan masa berbulan lagi untuk kembali selepas menjalani pembedahan lutut, manakala Lewandowski dan Olmo dijangka tidak sempat pulih menjelang El Clasico.
Namun, berita positif buat Barca apabila Yamal dan Lopez kembali berlatih Rabu lalu, dengan kedua-duanya menunjukkan perkembangan baik selepas kecederaan pangkal paha dan mungkin sempat diturunkan menentang Girona.
Ferran Torres, yang pulang awal daripada tugasan bersama skuad kebangsaan Sepanyol akibat keletihan otot, dijangka direhatkan beberapa hari lagi untuk perlawanan menentang Real Madrid.
Sementara itu, Raphinha disahkan tidak akan diturunkan berdepan Girona selepas belum pulih daripada kecederaan hamstring ketika menentang Oviedo tiga minggu lalu.
Di kem Real Madrid pula, Xabi Alonso berdepan kekangan apabila pertahanan Dean Huijsen cedera otot betis kiri dan belum pasti dapat diturunkan hujung minggu ini.
Selain Huijsen, Dani Carvajal, Trent Alexander-Arnold, Antonio Ruediger dan Ferland Mendy turut berada dalam senarai kecederaan, menjadikan benteng Los Blancos semakin rapuh.
Real Madrid kini mendahului carta La Liga dengan 21 mata, dua mata di hadapan Barcelona.
Villarreal di tempat ketiga dengan 16 mata, satu mata di depan Real Betis yang merupakan lawan mereka hari ini.
Atletico Madrid pula, di tangga kelima dengan 13 mata dan akan menentang Osasuna yang berada di tempat ke-12. – AGENSI/UTUSAN






