PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hanya akan mengambil tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas segala proses perundangan berakhir di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan, buat masa ini pihaknya tidak boleh campur tangan terlalu awal meskipun rayuan FAM kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah ditolak.
Katanya, sebarang tindakan lanjut hanya boleh diambil oleh AFC selepas segala proses perundangan selesai dan sesuatu kes ke CAS bukan sahaja memerlukan masa yang panjang, malah perlu mematuhi setiap prosedur perundangan antarabangsa yang ditetapkan.
“Buat masa ini, AFC akan menunggu sehingga semua proses perundangan selesai sebelum mengambil sebarang tindakan dan jika CAS adalah proses yang terakhir maka kita akan tunggu keputusan daripada CAS.
“Di dalam perundangan kita kena beri peluang untuk mereka yang didakwa merayu sampai ke peringkat Mahkamah Tertinggi, selepas semua proses rayuan berakhir, barulah kes ini akan dipanjangkan AFC untuk mengambil tindakan,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Windsor menjelaskan, sekiranya FAM memutuskan untuk membawa kes itu ke CAS, proses awal penyediaan dokumen dan pemfailan sahaja boleh memakan masa sekurang-kurangnya sebulan.
“Ini bukan pengakhiran kepada kes ini kerana masih banyak proses yang perlu dilalui FAM sebelum keputusan muktamad diperoleh. Kita perlu tunggu dan lihat bagaimana langkah seterusnya dijalankan mengikut saluran yang betul,” jelasnya.
Tegasnya, AFC menghormati bidang kuasa FIFA serta CAS dalam menentukan keputusan sesuatu kes disiplin antarabangsa bagi memastikan keadilan dan ketelusan terpelihara.
“Proses ini memberi ruang kepada semua pihak untuk berhujah serta mengemukakan bukti dan fakta sebenar bagi memastikan keputusan dibuat dengan adil. AFC akan terus memantau perkembangan kes ini, namun tidak akan membuat sebarang penilaian sehingga proses perundangan terakhir selesai,” katanya.
Menerusi satu keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengekalkan keputusan awal menggantung tujuh pemain negara dan denda ke atas FAM.
FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. – UTUSAN






