PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan hukuman terhadap badan induk berkenaan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pihaknya akan menyediakan segala dokumen, bukti dan hujah terbaik sebelum membawa kes berkenaan ke peringkat lebih tinggi demi maruah bola sepak Malaysia.
Menurut Yusoff, tempoh masa 21 hari yang diberikan FIFA untuk membawa kes itu ke CAS akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan setiap aspek disemak secara terperinci oleh barisan peguam yang dilantik.
“FAM akan bersedia dengan segala dokumen dan butiran tertentu untuk dibawa kepada CAS dalam usaha memastikan badan induk bola sepak itu terlepas daripada hukuman yang dikenakan FIFA.
“Peguam yang dilantik akan meneliti apa yang perlu dan FAM tidak akan berdiam diri untuk kes ini. Kita akan gunakan setiap ruang yang ada untuk mencari keadilan demi maruah bola sepak Malaysia,” katanya.
Terdahulu, harapan FAM mengubah hukuman denda dan penggantungan 12 terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA musnah apabila gagal dalam proses rayuan.
Menerusi satu keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengekalkan keputusan awal yang menggantung tujuh pemain warisan negara dan denda ke atas FAM.
FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,600) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Selain itu, Mohd. Yusoff berkata, perjuangan ini mungkin akan mengambil masa lama dan menelan kos yang tinggi, namun FAM sanggup menanggungnya demi memastikan nama Malaysia tidak tercemar di pentas antarabangsa.
Katanya, keputusan untuk meneruskan kes ke CAS bukan dibuat secara terburu-buru sebaliknya melalui pertimbangan menyeluruh bersama pasukan undang-undang dan kepimpinan tertinggi FAM.
“Kami tahu proses ini mungkin panjang dan melibatkan modal yang besar, tapi demi maruah bola sepak negara, FAM sanggup harungi apa saja cabaran di hadapan.
“Pada masa sama, kami juga tidak akan mudah menyerah kalah walaupun keputusan rayuan sebelum ini tidak memihak kepada kami. Harapan kami agar seluruh penyokong bola sepak tanah air terus mendoakan dan memberi sokongan,” katanya. – UTUSAN






