PETALING JAYA: Kini timbul persoalan adakah wajar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencabar keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di
Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuannya ditolak badan dunia itu.
Selain kos yang sudah pasti mahal untuk membayar barisan peguam, terdapat juga keraguan tentang peratusan peluang untuk FAM menang dalam kes tersebut kerana FIFA pastinya mempunyai bukti dan alasan penghakimannya yang kukuh sebelum membuat keputusan.
Sehubungan itu, FAM perlu meneliti secara mendalam sebelum membuat keputusan mengheret kes rayuan hukuman terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara ke CAS.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, FAM perlu mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai setiap sudut perundangan dan fakta sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Katanya, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah asas kepada rayuan yang bakal dikemukakan, yang bergantung sepenuhnya kepada kandungan Motivated Decision daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
Terdahulu, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan mengekalkan denda dan hukuman penggantungan 12 terhadap tujuh pemain warisan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
“Peluang FAM untuk berjaya CAS bergantung kepada dapatan dan alasan yang terkandung dalam keputusan berkenaan. Jika alasan tidak kukuh, rayuan mungkin sukar diterima dan hanya membazir masa serta kos yang besar,” kata Nik Erman. – UTUSAN





