MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim bersedia melanjutkan kontrak Casemiro di Old Trafford, namun pemain tengah kelahiran Brazil itu perlu bersedia untuk pemotongan gaji.
Kontrak semasa pemain tengah berpengalaman itu akan tamat pada 30 Jun depan, namun The Red Devils memiliki pilihan dalam klausa perjanjian untuk menyambungnya selama setahun lagi.
Walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Arab Saudi, Casemiro mahu kekal di Old Trafford dan terus berjuang merebut tempat dalam pasukan kendalian Amorim.
Pemain berusia 33 tahun itu, yang dibeli dari Real Madrid pada 2022 dengan nilai 70 juta pound (RM379 juta), kini kembali menjadi pilihan utama Amorim di bahagian tengah bersama Bruno Fernandes.
Musim ini, Casemiro memainkan peranan penting dengan menyumbang tiga gol dan satu umpanan gol dalam 10 aksi Liga Perdana Inggeris dan prestasi cemerlang itu menghidupkan semula karier antarabangsa bersama Brazil di bawah kendalian Carlo Ancelotti.
“Saya rasa dia (Casemiro) memberi banyak pengalaman. Dia contoh buat semua pemain lain.
“Pada awal musim dia berada di belakang semua pemain tengah, termasuk Toby (Collyer), tetapi dia berjuang dan bekerja keras dan kini dia kembali ke dalam skuad kebangsaan. Dia sangat penting untuk kami,” kata Amorim selepas kemenangan 4-2 ke atas Brighton bulan lalu.
Casemiro pula mengakui dia belum berhasrat menggantung but dalam masa terdekat. – AGENSI/UTUSAN





