LONDON: Manchester United sudah menyenaraikan empat calon untuk menggantikan Casemiro yang akan meninggalkan kelab itu hujung musim ini.
Pemain tengah itu, antara pembelian awal era Erik ten Hag di Old Trafford, akan berpisah dengan kelab apabila kontraknya tamat.
Pemain Brazil itu menyertai United dari Real Madrid pada 2022 dengan yuran 70 juta pound (RM381 juta) dan setakat ini membuat 146 penampilan bersama kelab, termasuk menjaringkan 21 gol.
“Seorang pemenang sejati, kami mengucapkan terima kasih kepada Case atas sumbangannya bersama United setakat ini dan berharap dapat menamatkan tempohnya di kelab ini dengan penuh bermakna,” kata United dalam satu kenyataan.
Bagi Casemiro dia akan membawa Manchester United bersama sepanjang hidupnya dan akui banyak kenangan tercipta di Old Trafford.
United memilih untuk tidak memperbaharui kontrak pemenang lima kali Liga Juara-Juara itu, yang menerima gaji lumayan 350,000 pound (RM1.9 juta) seminggu.
SunSport difahamkan pengurusan kelab sudah mempunyai empat nama dalam radar untuk menggantikan pemain Brazil itu.
Sasaran utama United pada jendela perpindahan musim panas adalah mencari pemain nombor enam baharu dan antara pemain dalam pemantauan adalah bintang England, Elliot Anderson, Adam Wharton dan Alex Scott.
Ketiga-tiga pemain itu difahamkan memberi impak besar kepada barisan pengurusan United menerusi prestasi mereka bersama Nottingham Forest, Crystal Palace dan Bournemouth musim ini.
United juga menaruh minat terhadap pemain tengah Brighton, Carlos Baleba yang pernah menjadi sasaran pada musim lalu. – AGENSI/UTUSAN






