PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu meneliti dengan mendalam sebelum membuat keputusan merayu hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan negara ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Badan induk bola sepak negara itu kini mengharapkan CAS sebagai talian hayat terakhir untuk membersihkan imej selepas Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman sedia ada.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, FAM perlu mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai setiap sudut perundangan dan fakta sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
Menurut beliau, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah asas kepada rayuan yang bakal dikemukakan, yang bergantung sepenuhnya kepada kandungan ‘Motivated Decision’ daripada Jawatankuasa Rayuan FIFA.
“Apabila memperoleh motivated decision, alasan rayuan biasanya tertumpu kepada dua perkara sama ada berlaku kesalahan fakta atau kesalahan undang-undang.
“Peluang FAM untuk berjaya di peringkat CAS bergantung kepada dapatan dan alasan yang terkandung dalam keputusan berkenaan. Jika alasan tidak kukuh, rayuan mungkin sukar diterima dan hanya membazir masa serta kos yang besar,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Tambah beliau, faktor kedua yang tidak kurang pentingnya ialah kos kerana situasi untuk mengheret kes ke CAS memerlukan perbelanjaan besar termasuk bayaran peguam luar dan kos mahkamah yang boleh mencecah beratus ribu ringgit.
“Kos rayuan terdiri daripada perbelanjaan bakal dikeluarkan FAM.Kos-kos akan datang termasuklah bayar peguam luar dan kos CAS, yang mungkin mencecah beratus ribu ringgit.
“FAM perlu menilai sama ada perbelanjaan ini berbaloi berbanding objektif rayuan yang ingin dicapai,” katanya.
Jelas Nik Erman, objektif rayuan juga perlu difikirkan dengan jelas sama ada ingin mengurangkan hukuman atau menafikan kesalahan sepenuhnya, kerana keputusan ini akan memberi kesan kepada strategi keseluruhan.
“Faktor terakhir adalah imej dan hubungan awam. Jika FAM tidak merayu, ia seperti sudah mengaku kalah dan tidak mahu melawan. Ada juga yang berpendapat bahawa FAM tidak perlu merayu dan menerima keputusan ini supaya proses penambahbaikan FAM boleh bermula.
“Namun, risiko merayu termasuk penambahan hukuman dan pendedahan terperinci kes kerana keputusan CAS adalah dokumen awam yang boleh diakses sesiapa pun,” jelasnya.
Terdahulu, harapan FAM untuk mengubah keputusan penggantungan dikeluarkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA tidak kesampaian apabila gagal dalam proses rayuan.
Menerusi satu keputusan dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan FIFA, badan induk dunia itu mengekalkan keputusan awal menggantung tujuh pemain negara dan denda ke atas FAM.
Dalam keputusan yang diumumkan semalam, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain terbabit atas kesalahan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. – UTUSAN






