DALAM kehidupan seharian, ramai wanita khususnya ibu berkerjaya meminggirkan aspek kesejahteraan diri. Badan saja sihat, tetapi kadangkala rasa lesu dan tidak bersemangat.
Belum pun jam 4 petang, badan sudah rasa longlai.
Kalau begitu rasanya, inilah masanya untuk memulihkan badan dengan berkunjung ke pusat kesihatan dan kesejahteraan untuk mengembalikan semangat yang hilang.
Pengalaman di ARC Holistic Wellness baru-baru ini memberi saya peluang merawat tubuh dan minda, seterusnya membantu meningkatkan kualiti dalam melancarkan urusan harian.

Salah satu rawatan popular di sini ialah terapi oksigen atau Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT). Pelanggan akan ditempatkan dalam ruang khas yang menyalurkan 65 peratus oksigen pada tekanan lebih tinggi daripada atmosfera biasa.
Tekanan tinggi ini membolehkan lebih banyak oksigen larut dalam darah berbanding pernafasan biasa.
Oksigen tambahan membantu sel-sel rosak pulih dan sembuh.
Menariknya, sambil melalui rawatan selama kira-kira 40 minit ini kaki diurut bagi menghilangkan segala tekanan pada bahagian berkenaan. Sedar-sedar sahaja badan rasa bertenaga dan ringan.
Rawatan lain perlu dicuba ialah terapi garam atau haloterapi. Terapi ini dipercayai dapat melegakan simptom pernafasan seperti asma, bronkitis dan sinusitis, serta meningkatkan fungsi paru-paru.

Maklumlah selepas pandemik Covid-19 lalu, paru-paru kita mungkin sedikit terganggu dengan situasi berkenaan. Rawatlah ia dengan membuang segala kekotoran yang mungkin tidak kita sedari supaya ia dapat berfungsi dengan lebih baik.
Ia turut membantu mengurangkan tekanan, kebimbangan, meningkatkan mood dan kualiti tidur, sekali gus memberi kesan positif kepada kesihatan mental dan emosi.
Penyudah rawatan, anda boleh menikmati sauna cahaya inframerah, yang berfungsi memanaskan badan secara langsung melalui gelombang cahaya inframerah, berbeza daripada sauna tradisional yang memanaskan udara.
Rawatan ini membantu detoksifikasi badan, mengurangkan kesakitan sendi dan otot, meningkatkan peredaran darah, serta memperbaiki kesihatan kulit dan kualiti tidur.
Kelebihan lain termasuk pembakaran kalori, peningkatan metabolisme dan pengurangan tekanan, menjadikan pengalaman sauna lebih berkesan dan menyegarkan.
Bagi individu yang mahu mengembalikan kesejahteraan diri bolehlah pilih rawatan mana sesuai dengan diri dan bajet.
Sementara itu, seiring perkembangan pesat ekonomi kesihatan Malaysia yang dianggarkan bernilai RM53.58 bilion pada 2024, ARC tampil sebagai jenama tempatan yang memenuhi keperluan rakyat untuk kehidupan sejahtera.
Pengarah Urusan, Justin Prashant Dee, yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang pengiklanan, berkata pusat berkenaan menonjol melalui pelan rawatan peribadi, harga mampu milik, serta prinsip bahawa kesihatan bukan untuk golongan tertentu sahaja.
Ia menawarkan pengalaman eksklusif dan menyegarkan, menggabungkan terapi moden dengan tradisi penyembuhan.
“Kami membantu individu dalam pemulihan fizikal, mengurangkan keletihan otot dan meningkatkan tenaga. Terdapat juga kisah transformasi, antaranya pesakit yang kembali bergerak selepas sakit saraf berbulan-bulan, serta pesakit kanser yang mendapat ketenangan emosi semasa kemoterapi,” katanya.
ARC, yang bermaksud ‘ark’ atau tempat perlindungan dan pembaharuan, menekankan kesihatan bukan kemewahan, tetapi penjajaran semula tubuh dan minda kepada keadaan seimbang.
Dengan pelaburan hampir RM1 juta, pusat yang baru dibuka setahun lalu, menawarkan pengalaman pemulihan lengkap melalui gabungan terapi moden dan tradisional, selaras keperluan masyarakat Malaysia untuk penyelesaian kesihatan holistik yang boleh diakses oleh semua. – UTUSAN





