PETALING JAYA: Kegagalan skuad badminton negara mencapai sasaran empat emas di Sukan SEA Thailand 2025 tidak menggoyahkan pendirian Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila badan induk itu secara terbuka mempertahankan kedudukan pengarah kejurulatihan beregu, Rexy Mainaky.
Presiden BAM, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, menegaskan kegagalan di temasya dwitahunan itu tidak wajar dijadikan kambing hitam kepada seorang jurulatih, meskipun tekanan awam semakin memuncak.
“Saya menghargai keterbukaan Rexy, dan pendirian saya jelas, kita masih memerlukan beliau. Pengalaman dan falsafah pembangunan tidak boleh diukur dengan satu kejohanan.
“Pembinaan skuad kebangsaan ialah proses jangka Panjang,” kata Zafrul menerusi laman Instagram.
Skuad negara menutup kempen dengan hanya satu emas, dua perak dan enam gangsa, satu keputusan yang jelas jauh tersasar daripada empat emas yang dilaungkan sebelum temasya bermula.
Lebih membimbangkan, kegagalan beregu lelaki dan campuran memenangi emas mencetuskan persoalan besar terhadap keberkesanan perancangan jangka pendek BAM.
Situasi itu memuncak apabila Rexy sendiri menyatakan kesediaan untuk berundur, satu langkah yang disifatkan pemerhati sebagai tindakan berprinsip tetapi juga gambaran tekanan dalaman.
Bagaimanapun, Zafrul menegaskan masalah sebenar bukan terletak pada seorang pengarah kejurulatihan, sebaliknya pada keperluan penilaian menyeluruh terhadap sistem pemilihan, persiapan dan sokongan prestasi.
“Apa yang berlaku bukan kegagalan individu. Ini tanggungjawab bersama pemain, kejurulatihan, pengurusan dan kepimpinan. Kita menang sebagai satu pasukan. Apabila tewas, kita juga bertanggungjawab bersama,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pencapaian besar seperti kejuaraan dunia beregu campuran dan kemaraan ke final dunia beregu wanita tidak boleh dipadam hanya kerana kegagalan di Sukan SEA.
“Satu kegagalan tidak menafikan kejayaan besar tahun ini. Kita muncul juara dunia beregu campuran, dan buat pertama kali beregu wanita mara ke final Kejohanan Dunia, pencapaian yang mengangkat martabat pemain negara,” katanya. – UTUSAN






