BARCELONA: Pengendali Barcelona, Hansi Flick, mengingatkan skuadnya supaya tidak leka meskipun mencatat kemenangan penting 3-1 ke atas Alaves di Camp Nou, semalam.
Kemenangan keempat berturut-turut dalam liga itu melonjakkan Barca ke tangga teratas La Liga dengan kelebihan dua mata, namun Flick tidak mahu kejayaan sementara itu menimbulkan rasa selesa dalam kalangan pemain.
“Paling penting, kami perlu kekal fokus dan bersedia untuk aksi sukar menentang Atletico Madrid pada Selasa nanti,” katanya.
Flick mengakui beliau berpuas hati dengan keputusan perlawanan dan kembalinya dua tonggak utama, Raphinha dan Pedri Gonzalez, namun menegaskan fokus pasukan masih perlu kekal tinggi demi menghadapi cabaran seterusnya.
“Kami terlalu kerap kehilangan bola sepanjang perlawanan, jadi masih banyak yang perlu diperbaiki.
“Namun, keputusan ini cukup positif dan memberi suntikan semangat,” katanya
Flick turut memuji peranan Raphinha yang kembali cemerlang selepas kecederaan serta sambutan hangat lebih 45,000 penyokong untuk penampilan semula Pedri sebagai pemain gantian.
Kemenangan ini memberikan sinar harapan buat Barcelona yang sebelum ini mengalami kekalahan pahit 0-3 kepada Chelsea dalam Liga Juara-Juara, namun jurulatih
Jerman itu mahu pasukannya terus mengekalkan momentum positif tanpa terjebak dalam keselesaan palsu. – AGENSI/UTUSAN






