BANGKOK: Kegagalan kem badminton negara mencapai sasaran empat pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 tidak seharusnya ditanggung sendirian oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
Jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia berkata, tanggungjawab di atas prestasi kurang memberangsangkan itu perlu dipikul secara bersama daripada barisan pemain sehinggalah kejurulatihan dan bukannya menuding jari mencari kesilapan.
Tegas Aaron, keputusan Rexy untuk bersedia untuk berundur mungkin lebih didorong oleh rasa kecewa terhadap prestasi pemain termasuk dirinya dan gandingan Soh Wooi Yik yang terlepas peluang menghadiahkan emas selepas tewas pada aksi final kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 14-21, 17-21.
“Jurulatih Rexy, sebagai pengarah kejurulatihan beregu, banyak perkara yang beliau perlu jaga. Jadi, pemain yang kena ambil tanggungjawab sendiri.
“Saya rasa dia (Rexy) mungkin agak kecewa dengan prestasi yang pemain tampilkan. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, setiap individu mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Jadi, tidak sepatutnya meletakkan tanggungjawab kepada mana-mana pihak.
“Jadi bagi saya, perkara utama ialah setiap individu perlu mengambil tanggungjawab masing-masing dan fokus untuk menyelesaikan masalah, bukan mencari siapa yang perlu dipersalahkan. Ini sahaja pandangan saya,” katanya.
Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu turut menyeru agar semua pihak fokus kepada mencari jalan penyelesaian dan bukannya mencari kesalahan.
“Yang penting adalah untuk selesaikan masalah, bukan menolak tanggungjawab kepada sesiapa. Sebagai contoh, kalau Rexy letak jawatan pun, adakah keesokan harinya siapa yang akan kendalikan pasukan ini boleh pastikan kita menang semua emas? Tak ada kan?.
“Apa yang lebih penting adalah apabila kami pulang nanti, kami duduk berbincang semula bersama jurulatih untuk mencari penyelesaian mengenai masalah yang dihadapi. Fokus utama ialah menyelesaikan isu, bukan mencari siapa yang perlu dipersalahkan,” katanya.
Terdahulu Rexy menyatakan kesediaannya untuk memikul tanggungjawab penuh, termasuk meletakkan jawatan, sekiranya ada desakan memintanya berbuat demikian.
Kem badminton negara menamatkan kempen temasya kali ini dengan hanya satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa, jauh daripada sasaran empat emas yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Satu-satunya emas badminton negara diraih menerusi beregu wanita, Pearly Tan–M Thinaah yang tampil cemerlang menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma–Meilysa Trias Puspitasari 21-16, 19-21, 21-17 pada aksi final.
Manakala Aaron-Wooi Yik serta acara berpasukan lelaki negara menyumbang pingat perak.
Enam gangsa yang diraih kem negara adalah menerusi juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; dua perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao serta Jason Hoh, Wong Ling Ching (perseorangan wanita), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) serta acara berpasukan wanita. – UTUSAN
CAPTION
Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada beregu Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada perlawanan akhir individu Sukan SEA 2025 di Bangkok, kelmarin. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO






