PETALING JAYA: Masa depan pemain tengah Amerika-Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal kini menjadi tanda tanya selepas namanya tersenarai antara pemain yang tidak disambung kontrak oleh St. Louis City 2 bagi musim akan datang.
St. Louis City 2 dalam satu kenyataan mengesahkan seramai lapan pemain, termasuk Wan Kuzain tidak ditawarkan lanjutan kontrak menjelang saingan MLS Next Pro 2026, sekali gus menutup tirai penglibatannya bersama kelab tersebut sejak 2022.
“St. Louis CITY2 telah mengumumkan keputusan senarai pemain penghujung musim menjelang saingan MLS NEXT Pro 2026.
“Seramai lapan pemain bakal meninggalkan pasukan selepas kontrak mereka tamat iaitu Dida Armstrong, Ryan Becher, Cam Cilley, Lucas Demitra, Larsen Hackworth, Matteo Kidd, Wan Kuzain dan Gabriel Mikina.
“Pada masa sama, kelab tidak mengaktifkan opsyen lanjutan kontrak bagi musim 2026 untuk Emil Jääskeläinen dan Colin Welsh.
“Bagaimanapun, Welsh ketika ini masih dalam rundingan bersama kelab berhubung kemungkinan kembali bersama St. Louis CITY2 pada musim 2026,” kata kenyataan kelab.
Tonggak berusia 27 tahun itu sebelum ini merupakan antara watak penting pasukan dalam saingan MLS Next Pro, apabila mencatat 23 penampilan musim ini dengan sumbangan satu gol serta dua bantuan jaringan, selain berperanan sebagai pemain serba boleh di bawah kendalian ketua jurulatih, Jack Hackworth.
Kelincahan dan kebolehan Wan Kuzain beraksi di beberapa posisi termasuk pemain tengah menyerang serta sayap menjadikannya antara pilihan utama pasukan, namun keputusan pengurusan kelab menyaksikan beliau terpaksa mencari haluan baharu selepas kontraknya tamat. – UTUSAN



