HAMPIR tujuh tahun lalu, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal datang ke Malaysia dengan harapan besar untuk menyarung jersi negara, namun impian itu tertangguh akibat isu dokumentasi.
Selepas membina hampir keseluruhan karier profesionalnya di Amerika Syarikat, pemain tengah kelahiran Carbondale, Illinois itu akhirnya mendapat peluang menyarung jersi Harimau Malaya selepas dipanggil pengendali sementara, Tan Cheng Hoe, bagi kempen Piala ASEAN 2026.
Penantian itu bukan sekadar berakhir dengan panggilan ke kem kebangsaan apabila Wan Kuzain turut membuat penampilan antarabangsa pertamanya bersama Malaysia. Lebih manis, beliau meledak gol pertamanya ketika Malaysia menewaskan Laos 4-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Minat Wan Kuzain terhadap bola sepak berkembang di Amerika Syarikat, khususnya bersama akademi St. Louis Scott Gallagher, sebelum menyertai akademi Sporting Kansas City. Pada musim 2015/2016, beliau membuat 27 penampilan dan menjaringkan lapan gol dalam saingan Development Academy.
Selepas itu, beliau menyertai Sporting Kansas City Academy dan mula membuka laluan ke bola sepak profesional selepas meledak empat gol dalam 20 penampilan serta dipilih ke Central Conference Best XI.
Pada 2017, Wan Kuzain menandatangani kontrak profesional bersama Swope Park Rangers, pasukan pembangunan Sporting Kansas City. Beliau membuat penampilan profesional pada usia 18 tahun dan mengumpul 58 penampilan serta empat gol bersama Sporting Kansas City II.
Prestasinya membawa kepada langkah lebih besar apabila Sporting Kansas City menawarkan kontrak ‘Homegrown’ pada April 2018. Wan Kuzain menjadi pemain kesembilan dalam sejarah kelab itu yang ditandatangani melalui ‘Homegrown’ sebelum menembusi skuad utama.
Secara keseluruhan, beliau merekodkan enam penampilan MLS dan satu gol bersama Sporting Kansas City. Ketika kariernya meningkat di Amerika, perhatian peminat bola sepak Malaysia mula tertumpu kepada Wan Kuzain.
Beliau dipanggil menyertai skuad Malaysia Bawah 22 tahun sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina. Bagaimanapun, perjalanan sejauh kira-kira 22 jam dari Illinois ke Kuala Lumpur tidak membuahkan hasil apabila namanya tidak dapat didaftarkan kerana masalah dokumentasi.
Impian itu terpaksa ditangguhkan selama tujuh tahun dan dalam tempoh berkenaan, Wan Kuzain terus mengembangkan bakatnya termasuk bersama Rio Grande Valley FC, St. Louis CITY2 dan Sporting JAX.
Prestasi bersama Sporting JAX membantu menghidupkan semula peluang yang pernah tertutup hampir tujuh tahun lalu apabila Cheng Hoe memanggilnya untuk menghadapi Piala ASEAN 2026.
“Saya rasa saya tidak berhenti tersenyum sejak berada di sini (bersama Harimau Malaya). Ini adalah impian saya sejak tujuh tahun lalu dan ia menjadi kenyataan,” kata Wan Kuzain.
Beliau menyifatkan peluang mewakili Malaysia sebagai satu impian yang menjadi kenyataan selepas menunggu hampir enam atau tujuh tahun.
“Saya bersedia untuk memberikan persembahan terbaik, membuktikan kepada negara dan bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada diri saya sendiri apa yang telah lama saya nantikan untuk lakukan selama ini,” katanya.
Ditanya mengenai jaringan pertamanya bersama Harimau Malaya, Wan Kuzain berkata, itu adalah memori yang akan dikenang kerana baginya gol itu adalah detik bersejarah buatnya.
“Menjaringkan gol untuk negara dalam penampilan kedua seperti mimpi. Kalau saya masih tidur, jangan kejutkan saya sekarang.
“Pengalaman saya dalam bola sepak Malaysia sebelum ini agak terhad, jadi ini semua adalah pengalaman baharu buat saya. Berada di sini dan melihat betapa profesionalnya semua perkara dari dalam hingga ke luar padang, ia memang bertaraf kelas pertama,” katanya.
Menurut Wan Kuzain, tahap profesionalisme yang ditampilkan Harimau Malaya turut menepati standard yang biasa dilaluinya sepanjang berada dalam persekitaran bola sepak AS.
“Ia adalah apa yang saya jangkakan dan biasa lalui di AS. Jadi melihat bola sepak Malaysia setaraf dengan apa yang biasa saya lalui di Amerika adalah sesuatu yang sangat bagus.
“Saya hanya mengambil semua pengalaman ini, terus belajar dan menyerap segalanya kerana ia sangat hebat untuk menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.
Namun, pengalaman itu terpaksa dihentikan lebih awal apabila Wan Kuzain dipanggil pulang oleh kelabnya, Sporting JAX di AS. Dia meninggalkan kem Harimau Malaya ketika skuad kebangsaan melakukan persiapan menghadapi aksi separuh akhir pertama menentang juara bertahan Vietnam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, esok.
Bagaimanapun, bagi Wan Kuzain, perjalanan panjang dari Amerika Syarikat ke Malaysia akhirnya terasa berbaloi bukan kerana sekadar mendapat peluang memakai jersi Harimau Malaya, tetapi kerana hampir tujuh tahun selepas kegagalan pada 2019, beliau akhirnya dapat membuktikan dirinya di pentas antarabangsa. – UTUSAN






