BANGKOK: Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar melengkapkan hari gemilang kem muay thai Malaysia selepas menghadiahkan emas ketiga dalam sukan itu di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Muhammad Mikail atau lebih popular dengan gelaran Miki dalam kalangan peminat muay thai menampilkan penguasaan penuh untuk menewaskan atlet tuan rumah, Sirilun Suphakon dengan kiraan 29-28.
Lebih manis, kejayaan Miki turut ditemani oleh abangnya Johan Ghazali atau Jojo yang bertindak selaku ‘jurulatih’ untuk memberi semangat dan juga taktikal untuk berdepan lawan yang mendapat sokongan ribuan penyokong.
Miki ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur perancangan untuk beraksi di pentas final berjalan dengan lancar dan kemenangan berpihak kepadanya untuk menghadiahkan emas kepada negara.
“Alhamdulillah saya bangga, semua berjalan dengan lancar, semua bagus,” katanya yang kelihatan sebak selepas diumumkan sebagai pemenang kategori bawah 57 kilogram (kg).
Ditanya kemenangan ini bakal menyamakan popularitinya dengan Jojo, Miki berkata, dia tidak kisah siapa yang lebih popular kerana semangat dalam keluarga mengatasi segalanya.
“Kalau abang naik (popular), Miki tak kisah pun. Alhamdulillah, semua sama-sama naik. Kita semua jaga adik-beradik,” kata Miki yang melakukan persiapan selama dua bulan untuk beraksi di Sukan SEA.
Dalam pada itu, Jojo berkata, semangat kekeluargaan sememangnya membantu untuk menaikkan semangat semangat adik beradiknya di dalam gelanggang.
“Sejujurnya tak kisahlah…Bila seorang daripada keluarga masuk gelanggang, kita semua masuk gelanggang. Kalah menang sama-sama, naik turun sama-sama.
“Hari ini Miki buktikan dia mampu. Walaupun stadium bingit dengan penonton tuan rumah, dia kekal tenang ikut perancangan,” jelas Jojo.
Kejayaan Miki itu melengkapkan hari gemilang skuad negara selepas rakan sepasukan, Wassof Rumijam turut menyumbang emas dalam kategori 54kg dan terdahulu Yan Jia Chi meraih emas wai kru. – UTUSAN






