JERANTUT: Skuad Muay Thai Pahang menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas dan dua gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 yang akan membuka tirai secara rasmi Sabtu ini.
Pengurus pasukan, Muhamed Nizam Abdullah berkata, sasaran itu berdasarkan persiapan dan prestasi terbaik 12 orang atlet yang giat menjalani latihan sejak awal tahun ini sebagai persediaan menghadapi acara sukan Muay Thai di temasya tersebut yang berlangsung pada 19 hingga 23 Ogos ini.
“Pasukan Muay Thai ini terdiri daripada lapan atlet lelaki dan empat wanita yang dipilih dari seluruh negeri menerusi program pembangunan Muay Thai, iaitu untuk mengenal pasti bakat Muay Thai terbaik supaya dapat diketengahkan menyertai Sukma tahun ini.
“Latihan intensif bermula sejak awal tahun dan semua atlet dipilih melalui program pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negeri,” katanya di Pusat Kecemerlangan Sukan Muay Thai di sini.
Menurut Muhamed Nizam, skuad berkenaan menjalani latihan di Pusat Kecemerlangan Sukan Muay Thai Negeri Pahang di Jerantut di bawah kendalian Majlis Sukan Negeri Pahang (MSN Pahang).
Katanya, sasaran tersebut turut mengambil kira usaha pasukan untuk memperbaiki pencapaian pada Sukma di Kuala Lumpur 2024, apabila Pahang membawa pulang satu pingat perak dan satu gangsa.
“Pasukan Muay Thai Pahang bertekad meningkatkan pencapaian yang diperoleh di Sukma sebelum ini dengan persiapan latihan intensif dan rapi sekali gus yakin sasaran satu emas dan dua gangsa mampu diraih,” katanya. – UTUSAN





