PETALING JAYA: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sedia membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melakukan penilaian menyeluruh terhadap struktur pentadbiran badan induk itu susulan keputusan kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM meletakkan jawatan, semalam.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, kehadiran pihaknya adalah atas jemputan FAM sendiri bagi membantu membuat penilaian ke atas beberapa aspek terutamanya melibatkan urus tadbir pengurusan dan pentadbiran bola sepak.
Menurutnya, langkah itu bertujuan mengenal pasti sebarang kelemahan atau jurang yang wujud serta meletakkan tanda aras baharu yang bersesuaian dengan standard persatuan bola sepak masa kini.
“Kita nak lihat apa yang lemah dan apa jurang yang ada dalam FAM. Kita akan bentangkan laporan kepada pihak berkepentingan (stakeholder) pada Kongres FAM nanti untuk persetujuan.
“Namun sebelum itu, satu pasukan khas AFC yang diketuai oleh Vahid Kerdani (Timbalan Setiausaha Agung AFC) bersama konsultan akan membuat penilaian terperinci sebelum laporan akhir diserahkan kepada FAM.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan FAM satu persatuan yang lebih mantap sebelum kongres diadakan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.
Mengulas mengenai operasi FAM dalam tempoh interim ini, Windsor menjelaskan bahawa mandat penuh telah diberikan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman dan Bendahari FAM untuk menguruskan hal ehwal kewangan.
“Apa yang diputuskan adalah untuk meneruskan operasi FAM. Tanggungjawab diberikan kepada setiausaha agung dan bendahari untuk memastikan segala aspek kewangan diuruskan sementara dalam masa interim.
“Ini tidak bercanggah dengan Statut FAM. Memandangkan Exco sudah tiada, prosedur membenarkan setiausaha agung dan bendahari menggalas tanggungjawab tersebut.
“Memandangkan setiausaha agung tidak boleh bergerak bersendirian, satu pasukan pengurusan dalaman yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan akan dibentuk bagi membantu melicinkan pentadbiran serta berurusan dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya. – UTUSAN






