MADRID: Barcelona kembali merampas kedudukan teratas La Liga selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Real Oviedo hasil jaringan Dani Olmo, Raphinha serta gol cantik Lamine Yamal menerusi aksi akrobatik.
Selepas Real Madrid menewaskan Villarreal kelmarin untuk memintas seketika di puncak liga, kelab Catalan itu kembali berada satu mata di depan.
Walaupun Oviedo menghuni tangga tercorot liga dengan hanya dua kemenangan sepanjang musim, Barcelona dipaksa bekerja keras untuk memecahkan benteng lawan apabila pasukan pelawat ‘kebal’ mengekang asakan skuad kendalian Hansi Flick hingga babak kedua.
Barcelona akhirnya memecah kebuntuan gol menerusi Olmo pada minit ke-52, disusuli ledakan Raphina lima minit kemudian.
Yamal menutup kemenangan bergaya buat Barcelona menerusi sepakan voli akrobatik menarik selepas menerima hantaran lintang Olmo pada minit ke-73.
Pengurus Barcelona, Flick mengakui Oviedo memberi kesukaran kepada anak buahnya untuk menjaringkan gol dan pemainnya bermain di bawah tahap sebenar.
Jelasnya, secara keseluruhan babak kedua mereka bermain lebih baik dan Yamal mempamerkan aksi cemerlang, malah turut menjaringkan gol menakjubkan.
“Saya tahu kami tidak bermain pada tahap tertinggi pada separuh masa pertama, tetapi pasukan ini melakukan kerja yang sangat baik dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini.
“Ia amat hebat. Saya gembira dia menjaringkan gol yang begitu berkualiti dan gol ketiga itu amat penting buat kami,” kata Flick. – AFP/UTUSAN






