SEPANG: Atlet lawan pedang para negara, Krisana Sri Ujun tidak menyangka keputusan saat akhir beralih peranan daripada jurulatih kepada atlet di Sukan Para ASEAN Thailand membawa tuah apabila berjaya merangkul dua pingat emas dan satu gangsa.
Krisana berkata, pada mulanya dia mahu melatih pasukan, namun disebabkan kekurangan atlet dan hanya mempunyai masa dua bulan untuk melakukan persiapan atlet berusia 46 tahun itu mengubah fikirannya.
“Asalnya saya nak melatih sahaja tetapi pasukan tak cukup orang, dengan tempoh persiapan yang singkat tak banyak perkara yang dapat dilakukan.
“Keseluruhan pasukan kita ada lapan atlet sahaja. Ikutkan kami nak lebih ramai lagi tapi tak sempat dan apabila tak cukup peserta saya buat keputusan untuk bertanding,” katanya.
Krisana meraih dua emas masing-masing dalam acara individual epee dan sabre manakala gangsa dalam acara sabre berpasukan campuran.
Mengulas lanjut, Krisana mengakui dia bersedia untuk terus menabur baktinya buat Malaysia dalam beberapa temasya yang akan diadakan pada musim 2026 walaupun usianya sudah menjangkau separuh abad.
“Faktor usia banyak memberi cabaran kepada saya kerana saya akan berasa cepat penat namun itu bukan penghalang untuk saya terus beraksi bersama skuad para negara.
“Kalau dipanggil saya akan bersedia sebab selepas ini akan ada beberapa kejohanan seperti Piala Dunia Para Lawan Pedang pada Ogos ini serta Sukan Para Asia Aichi-Nagoya pada Oktober ini,” katanya. – UTUSAN




