DILAHIRKAN dalam keluarga nelayan, Abdul Halim Mohammad menganggap takdir itu adalah rezeki terbesarnya apabila dapat menggunakan kelebihan berenang sebagai batu loncatan untuk bergelar atlet renang para negara.
Berusia 26 tahun, Halim yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) fizikal sejak lahir, awalnya adalah atlet olahraga sebelum bertukar ke acara renang.
Dia yang sinonim dengan acara lontaran dan larian sejak 2010 akhirnya mengubah keputusan menjadi perenang sepenuh masa apabila berlaku masalah klasifikasi kategori dalam Sukan Para ASEAN 2017 di Kuala Lumpur.
“Disebabkan masalah itu, saya gagal sertai Sukan Para ASEAN… jadi pada 2017, saya buat keputusan bertukar ke sukan renang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, keputusannya itu nyata tepat memandangkan pada tahun sama, Majlis Sukan Negeri Sabah juga membuat uji bakat renang untuk mencari atlet pelapis.
“Saya tunjukkan sehabis baik bakat dalam sukan ini kerana saya datang dari keluarga nelayan dan sangat biasa dengan laut. Bermula dari itu sehinggalah sekarang, peluang saya lebih cerah,” katanya.
Sejak ayahnya, Mohammad Bonda meninggal dunia 10 tahun lalu, Halim menggalas tanggungjawab menjaga ibu dan menyara adiknya yang sedang menyambung pelajaran di Institut Pengajian tinggi (IPT).
Bagaimanapun dia dibelenggu sedikit kerisauan memandangkan jadualnya yang penuh dengan latihan, kejohanan serta kerja sampingan untuk mencari pendapatan tambahan menyebabkan dia sering berjauhan dengan ibu.
“Saya risaukan ibu sebab dia selalunya berseorangan di rumah. Ibu kurang sihat, dia ada darah tinggi dan perlukan seseorang untuk menjaganya.
“Saya sedih sebab sangat rapat dengan ibu. Bila mengenangkan dia hidup seorang diri di kampung, hati jadi sayu.
“Saya ada dua abang yang tinggal sekampung dengan ibu tetapi mereka sudah berkeluarga, jadi jarang ada di rumah,” katanya yang berasal dari Kampung Baru-Baru di Tuaran.
Mengenang kembali kesusahan hidup sebagai anak nelayan dan membesar di rumah atas air, Halim berkata, impiannya sekarang hanyalah untuk mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik dan membina kediaman yang selesa.
“Lima tahun lalu, saya balik kampung, waktu itu kewangan kami kurang stabil. Saya buka peti sejuk, kosong tiada apa untuk dimakan. Saya lihat ibu menangis teringatkan ayah. Ketika itu, sebagai anak, saya rasa sangat lemah.
“Selepas Sukan Para ASEAN tahun lalu, selepas saja dapat insentif hasil kemenangan dua pingat emas, saya tidak fikir banyak terus bina rumah baharu untuk ibu. Rumah lama pun sudah hampir 20 tahun dan tidak selamat,” katanya.
Tahun ini, rezeki Halim terus mencurah-curah apabila dia menjadi penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan ganjaran keseluruhan RM62,250.
Insentif itu diraih atas kejayaan menggondol lima emas dan satu gangsa di Sukan Para ASEAN Kemboja, bulan lalu.










