KUALA LUMPUR: Rexy Mainaky menjelaskan penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada Teoh Mei Xing dan Go Pei Kee bukan sekadar soal keputusan kejohanan, sebaliknya sebagai langkah strategik membina ekosistem beregu wanita negara untuk jangka panjang.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara itu, pengalaman Mei Xing dan Pei Kee perlu dimanfaatkan untuk membimbing pemain muda menyesuaikan diri di pentas antarabangsa, khususnya ketika Malaysia masih bergelut mengejar konsistensi seperti kuasa besar dunia.
“Dengan pasangan muda itu, pengalaman mereka boleh mengangkat pemain muda ini untuk pergi ke tahap yang lebih jauh.
“Dengan pemain muda yang lebih segar dan kurang tekanan, di situlah KPI mereka dan dalam beberapa kejohanan kita akan lihat sama ada ia menjadi atau tidak,” kata Rexy selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Rexy menegaskan perpisahan Mei Xing dan Pei Kee perlu dilihat secara realistik, sambil mengakui bukan semua gandingan mampu melalui fasa sukar seperti yang pernah dilalui pasangan elit dunia.
Beliau turut menjelaskan keputusan menstruktur semula beregu wanita dibuat hasil perbincangan bersama barisan kejurulatihan, termasuk ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak, dengan tumpuan kepada pembangunan menyeluruh dan bukan paksaan emosi pemain.
Sebagai langkah awal, Mei Xing akan digandingkan secara sementara bersama pemain remaja, Tan Zhing Hui pada Cabaran Antarabangsa Singapura 2026 dan Siri Antarabangsa Singapura 2026 manakala Pei Kee akan bersama Cheng Su Hui bagi menilai keserasian serta impak bimbingan pemain senior terhadap generasi baharu.
“Kalau pemain sudah tiada hati dan rasa sudah mendatar, kita sebagai jurulatih tidak boleh paksa kerana hasilnya tetap sama, jadi lebih baik kita fokus kepada pemain yang benar-benar mahu membina masa depan,” katanya. – UTUSAN






