LISBON: Bintang sensasi Vinicius Junior ‘naik angin’ apabila menuduh pemain Benfica, Gianluca Prestianni menghamburkan kata-kata berunsur perkauman ketika aksi playoff fasa kalah mati Liga Juara-Juara, semalam.
Dalam perlawanan yang menyaksikan Real Madrid menang tipis 1-0 itu, suasana tegang tercetus sejurus Vinicius meledak gol kemenangan pada minit ke-50 sebelum meraikannya di hadapan penyokong tuan rumah.
Tindakan itu mencetuskan pertikaman lidah antara beliau dan Prestianni sehingga memaksa pengadil Perancis, Francois Letexier menghentikan perlawanan lebih 10 minit bagi melaksanakan protokol anti-perkauman.
Vinicius mendakwa dirinya dipanggil “mono” iaitu istilah Sepanyol yang membawa maksud monyet oleh pemain muda Argentina itu.
“Rasis adalah pengecut. Mereka menutup mulut dengan jersi kerana takut bertanggungjawab,” kata Vinicius menerusi Instagram, merujuk aksi Prestianni yang dilihat menutup mulut ketika berbalas kata.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, insiden berkenaan bukan sahaja mencalarkan malam gemilangnya, malah menyinggung maruah diri serta keluarganya.
“Saya tidak gemar bercakap soal ini, lebih-lebih lagi selepas kemenangan penting. Namun, tiada siapa patut berdepan situasi seperti ini,” katanya.
Lebih mencetus persoalan, tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap Prestianni selepas protokol dilaksanakan, meskipun Letexier sebelum itu menghadiahkan kad kuning kepada Vinicius susulan cara beliau meraikan gol. – AGENSI/UTUSAN






