PETALING JAYA: Harapan untuk menyaksikan skuad kebangsaan mara buat kali kedua berturut-turut ke Piala Asia mungkin tidak kesampaian berikutan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan berhubung kes pemalsuan dokumen.
Apa yang pasti keputusan itu tidak akan menutup fail kes berkenaan, malah ‘bala besar’ dijangka berikutan rayuan di CAS tidak memihak kepada FAM.
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan merujuk kes berkenaan kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika badan induk itu bagi mengambil tindakan lanjut susulan keputusan CAS.
“AFC mengambil maklum mengenai keputusan dibuat oleh CAS pada 5 Mac 2026 (semalam) berhubung FAM dan beberapa pemain berkaitan pelanggaran Kod Disiplin FIFA.
“Perkara ini kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC dan kena ikut proses yang ditetapkan,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John kepada Nexbyte, semalam.
Merujuk kepada rekod hukuman dikenakan FIFA terhadap FAM berkaitan kes itu, ada kemungkinan besar dua kemenangan Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 iaitu berdepan Nepal dan Vietnam akan dibatalkan.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada Disember lalu membatalkan keputusan aksi persahabatan Malaysia menentang menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin, malah skuad negara diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 bagi ketiga-tiga perlawanan itu kerana Harimau Malaya didapati menggunakan pemain tidak layak.
Berikutan itu, AFC juga dijangka menggunakan hukuman sama terhadap FAM membabitkan aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang mana Harimau Malaya menggunakan pemain warisan terbabit ketika menang ke atas Nepal 2-0 dan Vietnam 4-0.
Jika AFC memberikan kemenangan 3-0 juga kepada Nepal dan Vietnam, ia sekali gus boleh menyebabkan impian skuad negara untuk ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi terkubur.
Malah, aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Vietnam di Stadium Thien Truong pada 31 Mac ini juga disifatkan sebagai pelengkap jadual buat skuad kendalian Peter Cklamovski.
Melihat kepada rekod sebelum ini juga, AFC pernah menggantung Timor Leste daripada menyertai Piala Asia 2023 selepas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Timor Leste (FFTL), Amandio de Araujo didapati memalsukan dokumen bagi kewarganegaraan pemain Timor Leste.
Setakat ini, keputusan atau hukuman rasmi terhadap FAM masih belum diputuskan oleh AFC maka ia akan menjadi satu lagi detik penantian yang mendebarkan perlu dilalui seluruh peminat bola sepak tanah air. – UTUSAN






