PETALING JAYA: Taekwando Malaysia (TM) meletakkan harapan tinggi kepada dua atlet kebangsaan, Syafiq Zuber dan Luqman Haqim Mohd Suhaimi bagi mewakili negara dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Namun, kedua-dua atlet negara itu berdepan cabaran besar apabila perlu menempuh pusingan kelayakan Asia yang dijadualkan berlangsung di Mongolia, Mei ini.
Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj berkata, pada edisi 2026 atlet buat kali pertama perlu beraksi di pusingan kelayakan sebelum layak ke pentas Sukan Asia.
“Untuk kyorugi (sasaran) adalah Syafiq dan kami juga turut mensasarkan Luqman. Kami juga patutnya sasarkan Fu Cern (Put Thai) tapi dia sudah bersara, dia baru sahaja menghantar surat persaraan.
“Untuk acara poomsae, kami ada pasangan campuran tapi masalahnya sekarang untuk Sukan Asia mereka hanya mempertandingkan individu,” katanya.
Ditanya mengenai peluang Syafiq dan Luqman untuk beraksi di temasya tersebut, Dharaj berkata, badan induk tersebut menghantar skuad kyorugi negara menjalani latihan intensif di Thailand.
“Saya ada berbincang dengan Syafiq dan dia beritahu bahawa dia kurang rakan sepelatih jadi kami berjanji untuk memberikannya lebih banyak pendedahan di luar negara.
“Sebelum dia pergi ke pusingan kelayakan Asia, kami akan pastikan dia sudah ada cukup pendedahan. Dalam pasukan, kami tidak mempunyai atlet heavyweight. Kami cuba bantu apa yang terbaik,” katanya.
Kata Dhanaraj lagi, setiap atlet perlu berada dalam kedudukan lapan terbaik untuk layak beraksi ke Sukan Asia pada pada September ini. – UTUSAN






