BANGKOK: Malaysia memulakan tuaian pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 menerusi acara hoki lima sebelah (5s) lelaki dan juga taekwondo poomsae berpasukan wanita, semalam.
Skuad hoki 5s lelaki menepati ramalan menumpaskan Indonesia 7-3 di pentas final, namun skuad wanita sekadar meraih perak apabila tewas 1-7 kepada tuan rumah, Thailand di final.
Emas kedua Malaysia di bumi Thailand hadir menerusi poomsae berpasukan wanita selepas skuad negara menewaskan tuan rumah di pentas final di Dewan 3 Island Fashion Mall.
Skuad negara yang diwakili Seah Jing Ying, Wong Zin dan Yow Mei Yee mempamerkan persembahan kemas untuk mengutip 8.560 mata keseluruhan mengatasi trio Thailand yang mengutip 8.450 mata.
Emas ‘terkejut’ daripada berpasukan poomsae wanita itu menutup cerita awal mengenai ketidakadilan penjurian yang menimpa pasangan beregu campuran poomsae negara, Jason Loo-Nur Humaira Karim.
Sementara itu, skuad badminton berpasukan lelaki gagal mencapai sasaran emas selepas tumpas mudah 0-3 kepada Indonesia di pentas final biarpun dibarisi pemain senior kali ini.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk meraih emas dalam acara itu selepas kali terakhir bergelar juara pada edisi 2005 di Sukan SEA Manila.
Selain itu, Malaysia turut meraih enam pingat gangsa menerusi acara berpasukan badminton wanita, chinlone lelaki dan wanita, poomsae berpasukan lelaki, poomsae individu lelaki serta petanque (menembak lelaki). – UTUSAN






