PARIS: Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany yakin anak buahnya masih mampu bangkit biarpun tumpas 4-5 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, semalam.
Dalam aksi di Parc des Princes itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik apabila sembilan gol terhasil dengan tuan rumah berjaya membawa bekalan satu gol menjelang aksi timbal balik di Allianz Arena.
Kompany yang menyaksikan perlawanan dari tempat duduk penonton susulan penggantungan memuji semangat juang pasukannya dan percaya kebangkitan mampu dilakar di hadapan penyokong sendiri pada minggu depan.
“Saya bangga dengan cara kami bangkit ketika ketinggalan 2-5. Ia luar biasa melihat pemain terus melawan. Bola sepak seperti agama, setiap orang ada kepercayaan sendiri dan tiada satu gaya permainan yang lebih hebat daripada yang lain.
“Kebiasaannya akan ada satu pasukan mula bertahan, tetapi malam ini (semalam) kedua-duanya enggan berbuat demikian dan sebab itu perlawanan ini jadi luar biasa,” katanya.
Bayern kini memburu kebangkitan di Munich bagi membolehkan mereka kembali ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2020.
“Tidak sabar untuk menunggu perlawanan itu. Jurangnya sangat kecil dan kami hanya perlu menang. Atmosfera stadium kami boleh menjadi pemisah. Ia venue legenda buat Bayern,” kata Kompany.
Sementara itu, Harry Kane yang turut meledak satu gol semalam percaya semangat juang Bayern mampu menjadi pemisah pada separuh akhir kedua nanti.
“Ia bergantung kepada siapa yang memanfaatkan peluang minggu depan. Banyak detik penting berlaku malam ini (semalam) dan saya rasa perkara sama akan berlaku minggu depan.
“Bermain di laman sendiri dengan sokongan penyokong, kami harap ia mampu membantu kami melepasi halangan ini,” kata Kane yang meletakkan Bayern di depan menerusi penalti pada minit ke-17.
Menurut Kane, Bayern sebenarnya mempunyai peluang untuk menamatkan perlawanan lebih awal sebelum PSG bangkit.
“Kami bangga kerana mampu kembali menjadikan kedudukan 5-4 kerana apabila ketinggalan 2-5 di tempat lawan, ia situasi yang amat sukar. Tetapi, kami terus melawan dan kami masih berada dalam persaingan,” katanya.
Penyerang England itu turut mencipta rekod sebagai pemain England pertama menjaringkan gol dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut dan sudah meledak 13 gol dalam saingan musim ini. – AGENSI/UTUSAN






