MUNICH: Manuel Neuer mengakui Bayern Munich gagal menunjukkan ketajaman yang diperlukan ketika tersingkir di tangan Paris Saint-Germain (PSG) pada separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), semalam.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, juara Jerman itu sekadar seri 1-1 di Allianz Arena, sekali gus tewas dengan agregat 5-6 selepas kekalahan pada aksi pertama di Paris minggu lalu.
Walaupun Bayern mendominasi sebahagian besar permainan dan terus melancarkan tekanan ke kubu lawan, skuad kendalian Vincent Kompany dilihat gagal memanfaatkan peluang penting untuk mengubah keputusan perlawanan.
“Kami tidak memiliki banyak peluang besar hari ini, tetapi masih mencipta cukup peluang untuk menjaringkan gol.
“Kami tidak mempunyai mentaliti pembunuh seperti PSG untuk menyempurnakan peluang yang ada,” kata Neuer.
PSG terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan awal Ousmane Dembele sebelum Harry Kane menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, namun jaringan itu hadir terlalu lewat untuk menghidupkan peluang Bayern mengheret aksi ke masa tambahan.
“Kami sudah hampir ke final tetapi gagal melangkah lebih jauh. Gol kami hadir terlalu lewat.
“Malangnya gol kami datang sedikit terlambat. Kami tidak ada masa untuk mencipta satu lagi peluang atau mendapatkan sepakan percuma,”ujarnya.
Kekalahan itu sekali lagi memadam impian Bayern untuk kembali menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2020 ketika mereka menewaskan PSG di final, namun mereka masih berpeluang menutup musim dengan cemerlang selepas sudah mengesahkan kejuaraan Bundesliga dan mara ke final Piala Jerman. – AFP/UTUSAN






