MUNICH: Paris Saint-Germain (PSG) terus membuktikan status mereka sebagai kuasa baharu bola sepak Eropah apabila melangkah ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat musim kedua berturut-turut selepas menyingkirkan Bayern Munich dengan agregat 6-5, semalam.
Skuad kendalian Luis Enrique mengikat Bayern 1-1 pada aksi separuh akhir kedua di Allianz Arena, sekali gus mempertahankan kelebihan dramatik 5-4 yang dibawa dari Paris minggu lalu.
Berbeza dengan aksi pertama yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, PSG kali ini tampil lebih matang dengan disiplin bertahan yang cukup tersusun untuk menyekat kebangkitan juara Jerman itu.
PSG bermula sempurna apabila Ousmane Dembele meledak gol seawal minit ketiga, dan gol itu nyata memberikan tekanan besar kepada Bayern yang terpaksa menggandakan asakan sepanjang perlawanan.
Walaupun Harry Kane berjaya menyamakan kedudukan pada masa kecederaan, jaringan itu hadir terlalu lewat untuk menghalang kemaraan PSG ke final yang bakal menemukan mereka dengan Arsenal di Budapest pada 30 Mei ini.
“Malam ini menunjukkan siapa kami sebenarnya. Kami tunjukkan kematangan sebagai pasukan, bukan hanya mampu menyerang tetapi juga bertahan dengan baik.
“Dua kali bermain di final berturut-turut membuktikan siapa kami dan misi seterusnya adalah memastikan kejuaraan terus kekal di Paris,” kata Enrique.
Pemain muda sensasi PSG, Desire Doue pula menyifatkan kekuatan mental pasukan menjadi faktor utama mereka mampu bertahan di bawah tekanan tinggi Bayern.
“Kami tidak boleh sentiasa menang dengan magis atau aksi luar biasa sahaja. Hari ini kami perlu banyak bertahan dan kami melakukannya dengan sangat baik,” ujarnya.
Benteng PSG turut diperkukuh aksi cemerlang Willian Pacho yang memenangi hampir semua perebutan bola manakala Warren Zaire-Emery tampil meyakinkan di posisi bek kanan bagi menggantikan Achraf Hakimi yang cedera.
Kini, PSG berpeluang mencipta sejarah tersendiri dengan kemenangan ke atas Arsenal nanti bakal menjadikan mereka pasukan kedua era moden Liga Juara-Juara yang berjaya mempertahankan kejuaraan selepas Real Madrid melakukannya antara 2016 hingga 2018. – AGENSI/UTUSAN






