NEW YORK: Bintang muda Thailand, Jeeno Thitikul terus membuktikan statusnya sebagai pencabar utama golf wanita dunia apabila mempertahankan gelaran Terbuka Americas LPGA Mizuho dengan penuh bergaya di Mountain Ridge Country Club, New Jersey, semalam.
Pemain No.2 dunia itu tampil tenang dan konsisten apabila mencatat tiga bawah par 69 pada pusingan akhir untuk menamatkan saingan dengan keseluruhan 13 bawah par 275, sekali gus meninggalkan pencabar terdekat dari China, Yin Ruoning sejauh empat pukulan.
Kemenangan itu menjadi gelaran LPGA kesembilan buat Jeeno dan yang kedua musim ini selepas menjuarai LPGA Thailand pada Februari lalu.
Lebih manis, pemain berusia 23 tahun itu mengakui perubahan mental menjadi kunci kebangkitannya selepas mendapatkan nasihat daripada jurulatih lamanya, Kris Assawapimonporn sebelum kejohanan bermula.
“Semua perkara yang berserabut dalam kepala saya hilang selepas bercakap dengannya. Itu banyak membantu saya,” katanya.
Jeeno yang melakukan empat birdie dan hanya satu bogey sepanjang aksi terakhir jelas berada dalam kelas tersendiri apabila tidak memberi ruang kepada pencabar lain untuk merapatkan jurang.
Yin turut mempamerkan aksi cemerlang menerusi catatan 69 untuk menamatkan kejohanan di tempat kedua dengan 279 pukulan keseluruhan.
Sementara itu, pemain Mexico, Gaby Lopez berkongsi kedudukan ketiga bersama dua pemain Amerika Syarikat, Alison Lee dan Jenny Bae.
Dalam pada itu, Jeeno kini mula memasang impian memburu gelaran utama pertamanya pada Terbuka Wanita Amerika Syarikat bulan depan di Riviera.
“Menang gelaran utama sentiasa menjadi impian saya, tetapi bukan sasaran yang wajib dicapai sekarang. Saya cuma mahu menikmati permainan dan lakukan yang terbaik,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






