“Lama mana lagi hendak ku turutkan?
Kata telunjuk yang menuding kepalaku
Sabar apa lagi hendak kukatakan?
Hingga aku bernafas bagai dalam lumpur,
Kasihan”.
Lagu ‘Bernafas Dalam Lumpur’ persis kita sedang menyingkap peristiwa banjir yang melanda negara baru-baru ini – yang dikatakan hanya berlaku akibat kecemasan iklim setiap 100 tahun, tetapi sebenarnya merupakan banjir yang kedua terbesar sejak 2014.
Banjir ini pasti surut, namun dengan dwiserangan bencana di kala pandemik ini, keperitan rakyat belum tentu reda sekiranya impak darurat banjir ini dilihat dari satu dimensi semata-mata. Sebenarnya kemiskinan adalah fenomena pelbagai dimensi.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menganggarkan hampir sekitar 80,000 isi rumah terjejas akibat bencana banjir yang lalu. Bayangkan kadar kerugian yang sejumlah RM5.3 bilion hingga RM6.5 bilion – iaitu sepertiga daripada 160 daerah di seluruh negara yang terkesan akibat bencana banjir.
Malangnya, Malaysia merupakan satu-satunya negara ASEAN yang masih tidak mempunyai undang-undang khusus berkaitan pengurusan bencana. Akta Pengurusan Bencana yang baru dicanang oleh Perdana pula tidak disertakan perinciannya. Malah, wakil-wakil rakyat masih tertanya-tanya apa Key Performance Indicator (KPI) bagi setiap kementerian serta agensi yang bertanggungjawab mengawal selia kejadian banjir baru-baru ini. Jika benarlah KPI 90 peratus – seperti versi kerajaan – maka apakah masih wujud harapan untuk prestasi yang lebih baik?
Rakyat kehilangan tempat berteduh, wang simpanan yang kian menyusut (atau lupus buat sesetengah keluarga), kehilangan status keberadaan serta kewarganegaraan akibat pensijilan dan harta benda yang lesap, jiwa insan tersayang yang terkorban, termasuklah kesihatan mental ‘post traumatic stress disorder’ (PTSD).
Kajian kemiskinan dengan lebih teliti menerusi dimensinya yang pelbagai – yakni dengan penggunaan mekanisme ukuran Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) mampu melengkapi sebahagian besar keperluan individu dan isi rumah.
Kajian Indeks Kemiskinan Multidimensi (MPI) Permatang Pauh yang dipandu oleh Profesor Dr. Fatimah Kari pada 2021 merupakan satu-satunya kajian yang mengambil kira secara teliti impak pandemik terhadap dimensi kekurangan. Kiraan MPI bagi isi rumah mangsa banjir perlu dibuat untuk memberi gambaran lebih realistik bagi maksud pemberian bantuan disamping menilai kesusahan rakyat disebabkan dwi impak pandemik dan banjir.
Golongan miskin selalunya mendiami kawasan rendah yang berisiko banjir. Mereka jugalah yang selalunya tidak berkesempatan membeli insuran perlindungan kemalangan atau mempunyai simpanan mencukupi untuk bangkit.
Rakyat juga harus menikmati bantuan dan peruntukan yang sewajarnya selari dengan dapatan DOSM yang menyimpulkan Perbelanjaan Barangan Keperluan Terpilih Pasca Banjir berjumlah RM 10,436.40 (berdasarkan sebuah keluarga – pasangan suami isteri, seorang kanak-kanak dan bayi) – 10 kali ganda lebih daripada Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diberikan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) fasa pertama.
Pengendalian NADMA terhadap krisis banjir juga harus dijadikan iktibar dalam memperbaiki proses dan tumpuan langsung mitigasi banjir termasuk kesiapsiagaan merangkumi setiap aset struktur hidraulik negara.
Sejak 2019, PLAN Malaysia telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan Bandar Berdaya Tahan Bencana di Malaysia bagi menjadikan bandar-bandar kita kalis bencana. Tetapi darurat banjir yang sedang dibincangkan seolah tidak menghiraukan kewujudan pelan tindakan tersebut.
Justeru, RUU Akta Pengurusan Bencana harus memastikan integrasi di antara ketiga-tiga sistem pentadbiran di Malaysia – iaitu peringkat Persekutuan, Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan yang masing-masing mempunyai akta, enakmen dan undang-undang kecil; setiap satunya jangan dibiar bergerak berasingan.
Lagu ini juga persis memikirkan tentang perjanjian persefahaman (MoU) yang mengikat antara kerajaan dan pembangkang.
Ya, kita tanpa kecuali menyokong usaha menstabilkan pentadbiran politik negara-walaupun sepatutnya yang menang dalam pilihan raya layak diberikan sepenggal untuk memerintah, dan yang kalah harus akur dengan peranannya sebagai pembangkang dan terus mempertahankan garis perjuangan rakyat.
Namun, adakah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus layak menerima dokongan MoU yang memberikan sokongan dwipartisan tidak berbelah bahagi – sekiranya gagal mengawal selia kepincangan nyata yang berlaku dalam institusi negara serta memastikan negara sepenuhnya bersiap siaga menghadapi bencana?
Kontroversi akaun dagangan saham yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum selesai diperjelas dan dibersihkan nilanya.
Tanggungjawab meliputi kerosakan banjir ke atas sembilan negeri dalam perbahasan di parlimen 20 Januari lalu juga tertumpu kepada naratif menyalahkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Sementara kementerian serta agensi di bawah seliaan mamanda Perdana Menteri terkecuali sama sekali daripada pertanggungjawaban.
Sehingga kedengaran kritikan oleh rakyat bahawa kesiapsiagaan tindak balas adalah lebih baik di kala mengawal protes terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM berbanding langkah susulan menghadapi banjir Disember lalu.
Berapa orang lagi yang harus ditekan dengan siasatan dan intimidasi – yang membazirkan aset serta masa penjawat awam dan penguatkuasa negara sementara mereka sebaiknya menjalankan tugas hakiki mereka termasuklah menangani malapetaka bencana alam?
“Mahu apa lagi akan ku korbankan?
Selagi ada hayatku dikandung badan,
Oh, terima kasih kerana balasan,
Semoga sejahteralah hidup semua”
Tidak ada maknanya kita punyai MoU, sekiranya rakyat dan satu persatu wakil rakyat pembangkang yang berani mempersoal kepincangan dalam kepimpinan institusi negara dikenakan tindakan undang-undang seakan-akan ‘bernafas bagai dalam lumpur.’
Justeru, berikan nafas baharu kepada MoU berteraskan keikhlasan, kebertanggungjawaban serta profesionalisme dalam berkhidmat untuk rakyat. Hentikan pendakwaan terpilih, hadapkan mereka yang rasuah ke muka pengadilan dan gantikan kepala institusi yang bermasalah. Nexbytekan kebajikan rakyat dalam setiap usaha.
Rakyat sekadar mahukan pentadbiran Perdana Menteri yang prihatin, bertanggungjawab serta beramanah; jangan hampakan harapan rakyat. Sebaiknya, kami pula akan terus memperkukuh peranan sebagai pembangkang – tanpa bersekongkol dengan kepincangan – selagi hayat, dikandung badan, Insya-Allah.
NURUL IZZAH ANWAR ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh.






