PAS sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelihatan luhur perjuangan politiknya.
Yang paling diingati di benak fikiran orang Melayu tika itu usaha bersungguh Pas khusus presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang memperjuangkan habis-habisan pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen.
Ia apabila Pakatan Harapan (PH) sekitar 2017 cuba menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah pindaan akta itu.
Dan Hadi bukan main dengusnya – yang disifatkan beliau terhadap penentang pindaan itu sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.
“Maka begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” tulis Hadi menerusi tulisan di Facebook, April 2017.
Tetapi Pas selepas masuk kerajaan, tidak lagi nampak hala tuju perjuangannya. Ke memperjuangkan isu-isu bersangkut paut Islam, tidak tampak garangnya. Ke soal-soal berkisar membela orang Melayu, dalam dua tahun yang berlalu, tidak ‘tertangkap’ pula dek telinga. Ke soal hal-hal kos sara hidup atau harga barang, diam membatu.
Agaknya Pas lebih berkesan di luar kerajaan berbanding duduk di dalamnya, apatah lagi dalam situasi Kabinet ‘bercampur-baur’ waktu ini.
Dalam politik Malaysia hari ini, Pas tidak ketahuan arahnya.
Sebaik sahaja PRU14 berakhir, Pas terkontang-kanting meskipun meraih 18 kerusi Parlimen. UMNO yang memiliki 54 kerusi menghulur tangan membawa Pas dari ‘lembah berduri’ memulakan langkah baharu, bersama-sama melawan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia.
Tewas UMNO dan Pas di kedua-dua kerusi. Baru merangkak dan akhirnya bertatih, berjalan, seterusnya bersama UMNO, berjaya membuktikan kesepakatan dua parti Melayu itu sehingga memenangi tujuh daripada 11 PRK (tidak bertanding di Sandakan).
Tidak itu sahaja. Hubungan kerjasama Pas-UMNO dikatakan sudah cukup cantik dalam tempoh 22 bulan PH memerintah. Menentang percubaan meratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan mengusahakan pindaan RUU 355.
Kali terakhir Pas bersama MN pada PRK Slim, 29 Ogos 2020 yang dimenangi UMNO, sebelum pemimpin-pemimpin induk Pas tarik handbrake terhadap UMNO dalam kempen pilihan raya negeri Sabah 26 September tahun sama.
LAIN DI MULUT…
Bila ada kalangan pemimpin kanan Pas dari Perlis dan Kelantan sehari dua ini masih lagi menguar-uarkan seruan ke arah penyatuan ummah untuk ‘menyelamatkan’ MN, lantas ada yang tersenyum sendiri. Lain di mulut, lain di hati.
Tempoh hari, Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menaruh keyakinan MN UMNO-Pas suatu agenda besar penyatuan ummah. Tapi kata bosnya Hadi, jika bertembung calon pakatannya dengan calon UMNO dalam pilihan raya negeri Melaka (20 November 2021), harus tolak sahaja UMNO.
Halangan besar Pas untuk bersama UMNO dalam MN cuma satu perkara ini – jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibawa bersama, jawabnya, boleh. Bahkan, Hadi menerusi satu kenyataan yang berterus terang 25 November tahun lalu telah membuat ketetapan hanya akan bersama Perikatan Nasional (PN) diketuai Bersatu.
Namun satu perkara yang sering ditanyakan kepada akar umbi UMNO kenapa mereka menolak Bersatu, jawapannya tetap sama sepanjang masa:
“Kerusi-kerusi Parlimen kami (16 kesemuanya) yang menang (dalam PRU14) telah dicuri. Adakah Pas akan memaafkan pencuri kerusi mereka?”
Tetapi bila UMNO bertegas memutuskan hubungan dengan Bersatu, jawapan Hadi agak menjengkelkan menujah UMNO. Berdolak dalik.
Kata Hadi: Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.
“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.
“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita.”
Jelas sekali Pas tidak mahu sekadar menjadi parti anak tangga atau parti menumpang semata-mata. Tidak disebut penumpang kepada siapa, tetapi semua maklum ‘kepada UMNO’.
PENUMPANG
Biarpun demikian, realiti Pas dalam politik Malaysia sebenarnya sudah lama menjadi ‘penumpang’ kepada semua parti. Bukan kepada UMNO semata-mata. DAP? Dan sehinggakan cakap-cakap yang berlegar di persada, Pas ini kingmaker kah atau broker kah?
Dan berbeza bak langit dan bumi dengan UMNO, Pas telah ‘mencuba’ banyak parti untuk ‘hidup’ dalam politik tanah air.
Begitupun, baik UMNO atau parti-parti Melayu yang banyak kelompoknya perlu akur cabaran getir yang perlu dilalui politik hari ini ialah sukar bertapak di kerusi-kerusi marginal.
Penguasaan kerusi marginal bermaksud sokongan kedua-dua bangsa (Melayu dan Cina) perlu untuk meraih undi.
Dan sekalipun Pas berpaling semula untuk bersama UMNO, dua parti Melayu ini masih memerlukan dukungan wakil rakyat bukan Islam.
Ia penting untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Ketika ini terdapat antara 30 hingga 40 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.
Dan bila ditinjau peluang di Felda pula, barang diingatkan dalam dua siri PRU lepas, penguasaan parti-parti Melayu menyusut di Felda. Pada PRU14, UMNO/BN cuma meraih 27 kerusi Parlimen, Pas (6), PKR (19) dan Warisan (12).
Ini berbeza sama sekali berbanding PRU13 ketika UMNO/BN masih menguasai 48 kerusi, Pas (3), PKR cuma satu kerusi dan DAP (2). Peningkatan drastik buat PKR di Felda.
Apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini menyifatkan MN bersama Pas sudah sampai ke surah akhir, cuma belum khatam sahaja lagi, barangkali pesanan pendiri UMNO, Almarhum Datuk Onn Jaafar boleh diambil iktibar.
Kata Allahyarham: “Kita (UMNO) hendaklah mengesek biola dengan kuat akan lagu gesekan kita. Jangan sampai orang lain mengesek dan kita hanya menari sahaja menurut lagu gesekan”. – Mingguan Malaysia






