APABILA bicara soal aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pusat Islam, jarang sekali mahasiswa lari dari program-program berorientasikan ceramah, kuliah maghrib, bacaan alunan ayat suci al-Quran dan tabligh.
Memang tidak dinafikan, program-program yang bersifat rohani ini amat penting dalam pembentukan karakter dan jiwa mahasiswa ke arah kebaikan.
Namun begitu, satu fakta yang tidak boleh dikesampingkan ialah hati anak muda pada hari ini sudah kurang tertambat pada pusat Islam.
Kita tidak boleh menunding jari ke arah mahasiswa-mahasiswa ini seratus peratus. Jika dikaji kecenderungan mahasiswa kala kini, kita akan dapati program-program pusat Islam sering kali kurang menarik minat mereka.
Solusi bagi permasalahan ini ialah, program-program pusat islam wajarlah lebih kreatif demi menarik minat golongan mahasiswa.
Mungkin kita boleh dirikan kelas-kelas bahasa, sains, undang-undang serta ceramah berkenaan langkah memasak. Tambahan pula, kitab oleh terbitkan audio siar rasmi pusat Islam universiti yang membahaskan pelbagai topik, dari falsafah sehinggalah kepada agama.
Barangkali audio siar ini boleh diterbitkan di media sosial rasmi pusat Islam universiti.
Ramai mahasiswa salah faham yang pusat Islam hanya terbatas untuk program-program ceramah agama. Faktanya, pusat Islam didirikan atas rasional mahu menjadikan umat yang bitara dalam ilmu aqli dan naqli.
Semoga dengan idea ini kita dapat melihat pusat Islam di universiti dimewahkan dengan program-program menarik serta dilimpahi pengunjung selalu, insya-Allah.-UTUSAN
MUHAMMAD AMIR HADI MAHRIZAL
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)





