SERING kali, rumah mampu milik dikaitkan dengan saiz yang sempit dan reka bentuk yang monoton, menyerupai bentuk ‘kotak.’
Walaupun kita berada dalam era moden dan maju, reka bentuk rumah ini masih kekal seragam, sementara persekitarannya tampak kurang menarik berbanding dengan rumah yang lebih mahal seperti pangsapuri dan kondominium.
Penting untuk diakui bahawa keperluan untuk memajukan secara evolusi reka bentuk rumah mampu milik menjadi semakin mendesak seiring berlalunya masa.
Hal ini untuk mengekalkan daya tarikan dan memenuhi keperluan moden, rumah mampu milik perlu mengalami perkembangan dalam konsep reka bentuk, mengambil kira elemen kontemporari dan inovatif.
Pengarah VERITAS Architects Sdn. Bhd., Ar Azril Amir Jaafar berpendapat, evolusi perlu dilakukan kepada reka bentuk rumah mampu milik seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Rumah mampu milik perlu ada beberapa variasi yang boleh dipilih mengikut kesesuaian dan keperluan pengguna serta lebih fleksibel untuk memenuhi keperluan masa depan,” katanya kepada Nexbyte.
Jelas Azril, pemaju perlu melihat semula dari segi untuk mengoptimumkan fungsi rumah mampu milik itu dan bukan hanya mengekalkan reka bentuk lama kerana kosnya yang lebih murah.
Katanya, produk mampu milik seharusnya dibangunkan di dalam pembangunan bercampur dan perlu dipadankan dengan komponen pembangunan sokongan untuk sesebuah kejiranan seperti komponen komersial, sekolah, pusat komuniti dan sebagainya.
“Ia perlu diadakan di dalam jarak yang boleh diakses dengan berjalan kaki. Selain itu, pembangunan ini juga perlu disokong oleh jalinan pengangkutan awam yang cekap,” ujarnya.
Menurut Azril, kewujudan pembangunan bercampur yang lengkap dan terhubung seperti itu dapat mengelakkan keperluan untuk menyediakan fasiliti khusus untuk sesebuah pembangunan seperti tempat letak kenderaan, kolam renang dan sebagainya yang meningkatkan kos unit.
“Kos hanya tertumpu untuk membina unit itu sahaja, sekali gus akan mewujudkan juga kaedah subsidi silang yang akan mengurangkan kos unit mampu milik tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, unit kediaman yang selesa dan mampu dimiliki mengikut piawai yang ditetapkan harus diutamakan.
“Keluasan, bilangan bilik tidur, bilangan bilik air, cara rekaannya perlu dibebaskan mengikut kehendak pasaran dan kreativiti arkitek.
“Elemen-elemen inilah yang akan mewujudkan kepelbagaian produk dan menjadikan produk mampu milik ini tidak stereotaip,” katanya.
Beliau turut berpendapat, penggunaan jenama tertentu untuk produk mampu milik perlu dihentikan kerana harga produk itu perlu ditentukan berdasarkan apa yang ditawarkan bukannya jenama mampu milik tertentu.
“Penawaran ini berdasarkan lokasi, konteks, saiz unit, fasiliti dan sebagainya akan menentukan harga unit dan bukannya jenama tertentu yang menyebabkan produk yang dijenamakan dengan segmen mampu milik ini mempunyai kualiti yang sub-standard,” katanya.
Sementara itu, menurut Pensyarah Senior Xiamen University Malaysia, Dr. Tan Consilz, beliau berada di tengah-tengah sama ada bersetuju atau tidak rumah mampu milik untuk dievolusikan.
Beliau berkata, pemaju masa kini masih berusaha menangani atribut lokasi dan struktur, serta keutamaan pembeli rumah dengan lokasi strategik.
“Dalam penyediaan rumah mengikut saiz yang diingini, sebagai contoh, isu lokasi sahaja belum diselesaikan. Kini, pemaju perlu menimbangkan mengenai lokasi, saiz rumah, dan harga rumah.
“Kami perlu menyelidik peruntukan penggunaan tanah untuk membina projek-projek perumahan (mampu milik) ini juga,” katanya.
Menurut beliau, apabila masalah lokasi dan harga rumah telah diambil kira, pemaju pula menghadapi kebimbangan lain mengenai saiz rumah dan reka bentuk.
Jelasnya, semua keperluan yang terlalu ketat mengelilingi pembinaan rumah-rumah mampu milik seperti saiz minimum, harga, sebahagian berperabot dan sebagainya, menghalang koordinasi yang baik antara bekalan dan permintaan.
“Kami perlu membenarkan bekalan dan permintaan bertindak balas dengan lebih cepat terhadap isyarat-isyarat bersama yang datang dari sistem harga dan membenarkan pilihan yang lebih baik apabila berdepan perkara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd, PMgr Sr Ishak Ismail berpandangan, evolusi seterusnya bagi rumah mampu milik seharusnya menumpukan kepada mesra alam.
Jelasnya, rumah mampu milik kini perlu ke arah penjimatan tenaga, penggunaan sistem solar, bumi hijau dan ruang pengudaraan yang lebih luas dan selesa.
“Pada pandangan saya, konsep kemapanan harus menjadi kayu ukur reka bentuk yang diperlukan bagi rumah mampu milik,” katanya.
Beliau berkata, rumah itu perlu mempunyai takungan air untuk digunakan semula untuk siraman landskap dan kebun komuniti.
Ujarnya, persekitaran yang lebih bersih dan pencahayaan yang mencukupi turut akan membantu membina kehidupan yang lebih harmoni. – UTUSAN





