JOHOR BAHRU: Lebih 1,000 penghuni projek perumahan rakyat (PPR) di negeri ini diberi notis pengosongan setelah mereka melanggar syarat dengan melakukan sewa semula atau sublet sejak empat tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mengemas kini dokumen perjanjian dan pemprofilan terhadap kira-kira 15,000 unit kediaman melibatkan 15 PPR.
Katanya, penghuni terbabit turut disenarai hitam oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) daripada memohon unit PPR lain atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK).
“Mereka dapat kediaman dan hanya perlu bayar sewa RM250 sahaja tetapi telah sewakan kepada pihak ketiga dengan bayaran berlipat kali ganda antara RM600 hingga RM800.
“Pihak ketiga pula, kita akan periksa dahulu sekiranya mereka layak dan cukup syarat, kita akan beri unit itu kepada penyewa tersebut dengan kadar sewa sedia ada,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kasih Johor Fasa 3 di Dewan PPR Sri Stulang, di sini semalam.
Mohd. Jafni berkata, pihak-nya akan ketatkan proses permohonan dengan hanya membenarkan satu keluarga sahaja tinggal di perumahan berkenaan.
“Kita terima maklum balas memaklumkan ada keluarga yang anak beranak atau adik beradik dapat tinggal di PPR yang sama. Kita perlu berlaku adil kepada semua dan beri peluang kepada mereka. PPR ini adalah persediaan sebelum penghuni membeli rumah sendiri, itu sasaran kita,” katanya. – UTUSAN






