PETALING JAYA: Pemain sepak takraw kebangsaan perlu menggunakan segala kesempatan yang ada untuk berguru dengan dua pakar dari Thailand Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong.
Bekas perejam kebangsaan, Azlan Mubin berkata, beliau percaya kehadiran dua bekas pemain Thailand itu akan memberi nilai tambah kepada aspek kejurulatihan skuad sepak takraw negara.
“Saya menyokong penuh kehadiran dua bekas pemain Thailand ini kerana dahulu saya juga merupakan kumpulan pertama yang mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih Thailand iaitu, Prawet Intra.
“Namun, segalanya berbalik kepada pemain juga, maksud saya pemain kena ambil peluang berguru dengan Ponsak dan Seksak kerana kedua-duanya merupakan pemain yang bagus.
“Pemain kena korek segala ilmu yang mereka ada, ambil kesempatan ini dan belajar untuk memantapkan lagi mutu permainan agar kita mampu mencabar Thailand,” katanya kepada Nexbyte.
Terdahulu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengesahkan kehadiran dua pakar Thailand bagi acara regu dan ‘double’ menjelang Piala Dunia Sepak Takraw yang bakal berlangsung 19 hingga 26 Mei ini, Kuala Lumpur.
Kedua-dua bekas pemain skuad kebangsaan Thailand itu akan membantu ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun bagi menghadapi Piala Dunia Sepak Takraw di Kuala Lumpur pada Mei 2024
Ditanya tentang peluang Malaysia pada Piala Dunia Sepak Takraw, Azlan berkata, Thailand tetap mempunyai kelebihan besar berbanding negara-negara lain termasuk Malaysia.
“Thailand tetap pilihan utama di Piala Dunia Sepak Takraw, peluang Malaysia juga tetap ada lebih-lebih lagi kita beraksi selaku rumah rumah. penyokong dapat berikan sokongan untuk naikkan semangat para pemain.
“Selain itu, saya menjangkakan sistem kiraan mata yang baharu dalam dunia sepak takraw juga akan sedikit sebanyak mengubah tempo permainan dan ia dilihat terbuka untuk semua pasukan termasuk Malaysia,” kata Azlan.-UTUSAN






