PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor yang juga merupakan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui bahawa dunia bola sepak adalah ‘kejam’.
Jelasnya, untuk berjaya dalam arena ini seseorang itu perlu meletakkan diri di tempat yang tepat dan kejayaan perlu seiring dengan pelaburan.
“Dalam industri pertandingan sukan terutamanya bola sepak. Sehebat mana pun anda jika anda berada di tempat yang salah ia tidak bermakna kenapa?.
“Kerana ia adalah mengenai kemenangan, pencapaian dan mencipta sejarah . Dalam kerjaya ini, kejayaan dan keuntungan /kewangan anda perlu berjalan seiring.
“Jika tidak, anda hanyalah sekadar salah seorang lagi pemain. Salah seorang dari yang ramai lagi, ia adalah dunia yang kejam,”katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram Story.
Sepanjang penglibatan Tunku Mahkota Ismail dalam dunia bola sepak sejak membina JDT pada 2013, pelbagai kejayaan dan sejarah dilakar oleh pasukan Harimau Selatan baik di peringkat domestik mahupun Asia.
Tambah baginda, apabila tiba masa karier seseorang itu berakhir tiada pihak akan mengingati sumbangan anda kecuali kejayaan yang dibawa.
Katanya, individu yang memiliki kebijaksanaan dan pengetahuan untuk membuat sesuatu keputusan, ia akan menjadi ‘senjata’ untuk seseorang meneruskan perjalanan hidup.
“Apabila masa anda berakhir, tiada siapa yang akan mengingati anda kerana orang hanya mengingati juara atau pemenang.
“Senjata anda adalah pengetahuan dan kebijaksanaan membuat keputusan. Kehidupan/kerjaya anda adalah berdasarkan keputusan-keputusan yang anda buat, gunakannya dengan bijak.
“Kerana pada penghujungnya, orang yang kononnya menganggap mereka tahu apa yang terbaik untuk anda tidak akan berada dengan anda ketika anda menderita. Andalah yang menjaga diri anda sendiri dan itulah kenyataan yang menyedihkan,”jelasnya.-UTUSAN






