PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka mengumumkan keputusan mereka hari ini sama ada menghantar Muhammad Azeem Fahmi atau Shereen Samson Vallabouy ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Badan induk sukan olahraga negara itu hanya mempunyai satu tiket wildcard untuk menghantar atlet ke temasya terbesar dunia itu dengan jaguh 100 meter (m) dan 400m itu mendominasi dua nama teratas senarai pilihan atlet ketika ini.
Tiket wildcard yang diberikan adalah untuk acara 100m, 800m dan maraton, sekali gus memberi bayangan Azeem bakal menjadi pilihan dan sekiranya Shereen dipilih, atlet berusia 26 tahun itu perlu beraksi dalam acara 100m.
Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard, berkata Jawatankuasa Pemilihan telah mengadakan mesyuarat semalam untuk membuat penilaian terhadap kedua-dua atlet itu yang dipengerusikan presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Bagaimanapun katanya, satu lagi mesyuarat akan diadakan sebelum membuat keputusan muktamad untuk mengumumkan atlet yang terpilih dibuat.
“KOM mengadakan mesyuarat sebelum membuat keputusan atlet mana yang akan diberikan wildcard dan nama atlet itu perlu diserahkan kepada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) sebelum atau pada 8 Julai ini.
“Dalam mesyuarat tersebut kami membincangkan semua maklumat dan data yang berkaitan mengenai kedua-dua atlet tersebut. Satu lagi mesyuarat akan dibuat sebelum membuat keputusan akhir dan menyerahkan nama kepada MOM,” katanya.
Untuk rekod, Azeem dan Shereen gagal menempah slot secara merit ke Paris menerusi kejohanan yang disertai mereka dan terbaharu di Terbuka Kazakhstan pada minggu lalu.
Biarpun Azeem dan Shereen masing-masing berjaya membawa pulang pingat gangsa dan emas di Terbuka Kazakhstan. namun catatan masa yang dilakukan tidak melepasi had kelayakan masa yang ditetapkan._UTUSAN






