PETALING JAYA: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membuat keputusan untuk kembali memilih corak belang harimau seperti kelaziman pada pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.
Katanya, logo MOM bersama Jalur Gemilang turut digunakan diiringi lima gegelung Olimpik berbanding hanya logo badan induk berwarna emas dipaparkan pada corak terdahulu.
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat harimau yang sudah menjadi identity kontinjen Malaysia sejak kali pertama diperkenalkan pada Sukan SEA di Manila pada 2005.
“Seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang harimau yang ditonjolkan.
“Sebagai badan yang mengelolakan kontinjen Malaysia di semua temasya antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman tetapi melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan namun majoriti peminat sukan tanah air meluahkan rasa ketidakpuasan hati di media sosial terhadap rekaan tersebut.
Dalam pada itu kata Norza, mendapat kebenaran daripada penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.
“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.
“Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,” katanya.
MOM turut berharap dengan keputusan tersebut rakyat Malaysia dapat memberi sokongan tidak berbelah kepada kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Paris yang dijadual berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-UTUSAN






