PETALING JAYA: Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly mengakui dirinya kini berada di tahap terbaik secara fizikal dan mental untuk mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik.
Tampil selaku juara bertahan bagi dua edisi berturut-turut di Rio 2016 dan Tokyo 2020, Abdul Latiff mengakui aura membutirkan pingat semakin membara selepas rakan-rakannya mula menuai hasil di Paris.
Latif yang turut berkesempatan menyaksikan Eddy Bernard meraih pingat gangsa bagi acara 100 meter (m) lelaki T44 turut teruja dengan suasana pertandingan yang berlangsung di Stade de France.
“Saya ada di stadium ketika Eddy bertanding dan kemenangannya memang menaikkan semangat saya untuk bertanding. Sekarang persiapan semuanya sudah siap 100 peratus. Mental dan fizikal saya juga berada dalam keadaan terbaik.
“Selain memberi sokongan kepada Eddy, saya juga pergi ke stadium untuk mengambil suasana pada hari pertandingan nanti. Penyokong memenuhi seluruh stadium dan suasana di sana memberi semangat kepada saya dan membuatkan saya tidak sabar untuk beraksi,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Latif bakal beraksi dalam acara lompat jauh kategori T20 (kecacatan intelektual) di Stade de France pada awal pagi esok merupakan satu lagi harapan emas di Paralimpik Paris.
Atlet kelahiran dari Perlis itu berada di tahap terbaik apabila berjaya memenangi pingat emas buat kali keempat di Kejohanan Olahraga Para Dunia di Kobe, Jepun pada Mei lalu selepas turut memenangi emas pada edisi 2015 di Doha, London (2017) dan Paris (2023).
Latif juga merupakan pemegang rekod dunia dengan lompatan 7.64 m di Sukan Para Asia 2018, Jakarta dan catatan terbaik peribadi yang dilakukannya pada musim ini adalah 7.73m.-UTUSAN






