PETALING JAYA: Tindakan tegas perlu diambil ke atas individu yang terlibat dalam soal pemalsuan dokumen membabitkan pasukan Kuala Lumpur (KL) City.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya memandang serius tentang itu itu kerana ia memberi imej buruk kepada bola sepak Malaysia.
Hamidin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bertindak luar batas sehingga menjejaskan ekosistem bola sepak sedia ada.
“Kalau tanya saya, orang yang salah patut diambil tindakan. Benda itu sudah sampai ke pihak berkuasa, saya rasa benda ini tidak boleh diteruskan dan kita kena bendung daripada terus berlaku.
“Tindakan perlu diambil tetapi kita serahkan kepada pihak berkuasa, biar mereka selesaikan perkara ini,” kata Hamidin.
Sebelum ini, KL City di denda RM100,000, pemotongan enam mata, pembatalan dan larangan memohon lesen Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta sekatan perpindahan pemain sehingga hujung musim 2024/25.
Enam hukuman itu dikenakan selepas The City Boys didapati melakukan deklarasi tidak tepat kepada First Instance Body (FIB) semasa membuat permohonan lesen kelab.
Selain mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi kelab dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), hasil semakan FIB juga mendapati dokumen yang diserahkan KL City berkenaan caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso mengandungi maklumat tidak tepat dan tidak benar.
Ini berdasarkan pengesahan daripada agensi-agensi kerajaan melalui e-mel kepada FIB di mana agensi-agensi berkenaan juga tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang diserahkan oleh KL City kepada FIB sebelum ini.-UTUSAN






