PETALING JAYA: Hasrat beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk melakar sejarah dalam karier mereka menjuarai Terbuka Indonesia yang merupakan kejohanan Super 1,000 tidak kesampaian selepas tunduk kepada pasangan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Istora Senayan, beregu Malaysia yang menghuni ranking No. 4 dunia tersebut tewas dalam perlawanan yang berlanjutan sehingga ke rubber set kepada gandingan China 25-23, 12-21, 19-21 dalam masa 1 jam 27 minit.
Kekalahan tersebut juga menyaksikan rekod pertemuan Pearly-Thinaah menentang pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris itu semakin melebar kepada 3-11.
Sebagai naib juara untuk kejohanan Super 1,000, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$50,750 (RM214,545), pingat perak berserta trofi.
Ini bermakna pencapaian terbaik Pearly-Thinaah dalam Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) masih kekal sewaktu mereka menjuarai Terbuka Perancis yang bertaraf Super 750 pada 2022.
Namun begitu, mara sehingga ke perlawanan akhir buat kali pertama pada kejohanan Super 1,000 juga merupakan pencapaian terbaik pasangan negara itu. – UTUSAN






