MADRID: Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone mahu anak buahnya menebus kekecewaan dan kembali membalas kepercayaan penyokong ketika berdepan Arsenal, esok.
Skuad dari ibu kota Sepanyol itu akan menerima kunjungan Arsenal dalam aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah dengan misi jelas menebus kekalahan menyakitkan di final Copa del Rey lebih seminggu lalu.
Ribuan penyokong Atletico sebelum ini membanjiri Seville untuk final, namun pulang hampa dan mengingatkan kembali kekalahan dalam final Liga Juara-Juara 2014 dan 2016 kepada musuh tradisi, Real Madrid.
Sehingga kini, Atletico masih belum pernah menjulang trofi paling berprestij Eropah itu, termasuk satu lagi kekalahan final pada tahun 1974.
Pertemuan dengan skuad kendalian Mikel Arteta membuka peluang baharu buat Atletico untuk melangkah ke final keempat, sekali gus menceriakan sambutan ulang tahun ke-123 kelab tersebut.
Namun, suasana tidak begitu positif sejurus selepas kekalahan di final piala Copa del Rey ketika kembali beraksi di laman sendiri menentang Athletic Bilbao Sabtu lalu, penyokong memberikan reaksi dingin terhadap pasukan.
“Penyokong tidak perlukan kata-kata daripada saya, mereka mahukan kemenangan. Kami akan berusaha dan berikan yang terbaik ketika berdepan Arsenal di laman sendiri,” kata Simeone yang juga merupakan pengurus paling berjaya dalam sejarah Atletico.
Simeone turut menekankan betapa pentingnya sokongan penyokong dalam membantu pasukan melangkah lebih jauh.
“Kami membina kejayaan ini melalui kerja keras dan sokongan peminat. Kami perlukan mereka sekarang lebih daripada sebelumnya dan harap dapat menghadiahkan sesuatu di atas padang,” katanya.
Dalam pada itu, penyerang utama Atletico, Julian Alvarez mahu rakan sepasukan melupakan kekalahan kepada Real Sociedad di final Copa del Rey dan memberikan tumpuan kepada aksi lebih besar menentang Arsenal.
“Kami perlu bangun daripada tamparan ini dan memberikan segalanya untuk ke final,” katanya.
Perlawanan menentang Arsenal juga dijangka berlangsung dalam suasana penuh semangat di stadium Metropolitano Stadium, yang terkenal dengan atmosfera yang luar biasa, seperti yang disaksikan ketika mereka menyingkirkan FC Barcelona di suku akhir. – AGENSI/UTUSAN






