SILVERSTONE: Pelumba Gresini Racing, Alex Marquez mengakui dia masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan kemalangan ngeri yang dialaminya di Grand Prix (GP) Catalan, Mei lalu meskipun saingan MotoGP baru sahaja kembali daripada cuti musim panas.
Marquez, yang mengalami kecederaan patah tulang vertebra dalam kemalangan tersebut, mendedahkan tahap fizikalnya masih berada pada tahap membimbangkan dan cepat berasa letih.
Pelumba Sepanyol itu berkata, kekangan fizikal tersebut jelas terasa sewaktu sesi latihan di GP Britain kelmarin, yang menyebabkannya sekadar menamatkan sesi di kedudukan ketujuh.
“Bagi saya, sesi selama satu jam itu terlalu lama. Saya sampai ke tahap maksimum dari segi kekuatan fizikal dan berasa sangat letih pada sebelah petang.
“Memang benar saya banyak fokus kepada penggunaan tayar belakang medium, namun saya tamat tanpa maklumat yang mencukupi untuk mengetahui di mana saya perlu lebih agresif atau sebaliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Marquez mengakui dia perlu belajar untuk membiasakan diri dengan kesakitan tersebut sekiranya ia tidak pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
“Saya jangkakan keadaan akan lebih baik, tetapi litar ini (Silverstone) sangat menuntut dari segi fizikal. Mungkin ini adalah kekangan yang terpaksa saya hadapi selepas ini.
“Kemalangan itu sangat besar dan saya perlukan lebih masa. Mungkin hidup saya berubah sedikit akibat kecederaan ini, tetapi selebihnya saya masih berasa baik,” katanya. – AGENSI





