LONDON: Liverpool mencapai persetujuan untuk mendapatkan pertahanan tengah Barcelona, Ronald Araujo secara pinjaman bagi mengatasi krisis kecederaan yang melanda bahagian pertahanan menjelang musim baharu.
Perjanjian pinjaman selama semusim itu turut dilaporkan mengandungi pilihan pembelian secara kekal pada penghujung musim, namun ia tidak diwajibkan.
Sebelum ini, Liverpool berdepan masalah besar di benteng pertahanan apabila Joe Gomez mengalami kecederaan, manakala Jeremy Jacquet dan Giovanni Leoni masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan jangka panjang.
Situasi berkenaan menyaksikan hanya kapten, Virgil van Dijk, yang dijangka benar-benar cergas untuk aksi pembukaan musim.
Kehadiran Araujo dianggap sesuatu yang mengejutkan kerana pemain antarabangsa Uruguay berusia 27 tahun itu tidak pernah dikaitkan akan meninggalkan Barcelona.
Malah, dia dilantik sebagai kapten Barcelona awal tahun ini selepas pemergian Marc-Andre ter Stegen dan membuat 38 penampilan bersama kelab Catalan itu musim lalu.
Bagaimanapun, pengurus Barcelona, Hansi Flick dilaporkan memaklumkan Araujo bahawa dia bukan lagi pilihan utama sebaik kembali menjalani latihan pramusim.
Perkembangan itu membuka ruang kepada Liverpool untuk mendapatkan khidmatnya secara pinjaman.
Laporan awal mengenai perpindahan itu didedahkan wartawan perpindahan terkenal Fabrizio Romano sebelum disahkan beberapa media England, termasuk The Times.
Media Sepanyol pula melaporkan perjanjian itu turut merangkumi pilihan pembelian pada musim panas tahun depan.
Araujo dikatakan boleh terus diturunkan dalam aksi menentang Newcastle United dalam tempoh dua minggu lagi, selain turut boleh beraksi di posisi bek kanan jika diperlukan.
Butiran yuran pinjaman dan nilai pilihan pembelian masih belum didedahkan.
Pemain itu dijangka mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di Barcelona sebelum berlepas ke Liverpool bagi melengkapkan perpindahan berkenaan.- AGENSI





