BARCELONA: Pertahanan tengah Uruguay, Ronald Araujo menyertai Liverpool secara pinjaman selama semusim daripada Barcelona.
Gergasi Sepanyol itu tidak menyatakan butiran perjanjian, namun menurut media Sepanyol, Liverpool akan menanggung gaji pemain berkenaan.
Dalam masa yang sama, The Reds mempunyai pilihan untuk membeli pemain berusia 27 tahun itu dengan harga 55 juta euro (RM259.9 juta).
“Barcelona dan Liverpool telah mencapai persetujuan untuk meminjamkan Araujo sehingga 30 Jun 2027. Semoga berjaya!” tulis Barcelona dalam satu kenyataan.
Ketika ini, Araujo terikat kontrak sehingga 2031 selepas melanjutkan kontraknya bersama kelab Catalan itu pada 2025.
Araujo kehilangan tempat dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Hansi Flick, dengan pemain muda Sepanyol, Pau Cubarsi menjadi tonggak utama pertahanan Barca.
Musim lalu, Araujo hanya beraksi 35 perlawanan dalam semua pertandingan selepas diketepikan selama beberapa minggu akibat keletihan mental.
Pemain Uruguay itu kembali pada Januari, tetapi mendapati beberapa pertahanan lain seperti Eric Garcia dan Gerard Martin turut berada di hadapannya.
Araujo yang juga anggota skuad Uruguay di Piala Dunia 2026 walaupun tidak beraksi, menyertai Liverpool yang memerlukan pertahanan tengah baharu untuk bergandingan dengan Virgil van Dijk.
Ibrahima Konate telah berpindah ke Real Madrid manakala Joe Gomez dan Giovanni Leoni kedua-duanya mengalami kecederaan.
“Saya teruja berada di sini, di kelab besar ini yang mempunyai sejarah begitu banyak.
“Saya teruja untuk bertemu rakan sepasukan, teruja untuk memulakan aksi dan saya sangat bermotivasi serta tidak sabar untuk bermula.
“Ini adalah perpindahan ideal untuk saya pada tahap kerjaya saya sekarang. Saya fikir perpindahan ini memang diperlukan untuk saya,” kata Araujo.
Liverpool yang kini dibimbing jurulatih Sepanyol, Andoni Iraola turut menandatangani pertahanan muda Perancis, Jeremy Jacquet dari Rennes. – AGENSI/UTUSAN






